Malaysia Dateline

Banjir teruk di kaki Gunung Jerai

Berikutan kejadian limpahan air deras dipercayai akibat kejadian kepala air dari beberapa kawasan peranginan air terjun di kaki Gunung Jerai di sini pada petang tadi menyebabkan beberapa kampung di sekitar Yan, Gurun dan Tupah dilanda banjir kilat

Kebanyakan kampung terlibat terletak berdekatan dengan beberapa sungai di kaki Gunung Jerai di sini.

Antara kawasan peranginan air terjun itu ialah Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar.

Kepala air beserta lumpur memusnahkan harta benda penduduk di kaki Gunung Jerai

Kejadian kepala air dengan deruan yang kuat dari kawasan peranginan Seri Perigi berlaku kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Dilaporkan kejadian kepala air itu menyebabkan kawasan peranginan tersebut dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak.

Permukaan tar jalan turut rosak

Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, keadaan yang berlaku sangat teruk dan beliau masih tidak mempunyai maklumat jumlah rumah yang terjejas selain sama ada berlaku kemalangan jiwa atau tidak.

“Keadaan hujan masih lebat dan ada maklumat yang saya terima beberapa rumah terletak berhampiran sungai turut dinaiki air,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, mereka menerima banyak laporan dan sedang menjalankan operasi.

Laluan terhalang dengan kayu kayan yang dibawa arus