Malaysia Dateline

Banjir teruk KL: ‘Tiada tindakan, tiada pengumuman, macam tiada menteri’

Banyak kawasan sekitar Kuala Lumpur telah ditenggelami banjir kilat selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam petang tadi.

Akibatnya, ribuan pengguna jalan raya terperangkap manakala banyak lagi kenderaan termasuk di kawasan parkir ditenggelami air.

Walau bagaimanapun, seorang wakil rakyat di Wilayah Persekutuan Kula Lumpur berkata, tiada pengumuman sepatutnya oleh pihak kerajaan terutama kepada warga Lembah Klang sebagai langkah berwaspada sebelum bencana berlaku.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, seluruh Kuala Lumpur mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk akibat banjir seolah-olah tiada menteri.

“Banjir di KL, saya terima banyak aduan dan makian terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan.

Takda tindakan, takda pengumuman. Macam takda Menteri. Satu KL sudah jem,” katanya di Twitter
lewat petang tadi.

Banjir teruk KL: 'Tiada tindakan, tiada pengumuman, macam tiada menteri.
Lim Lip Eng

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dalam pengumuman menerusi Facebook rasminya pada jam 1.35 petang tadi memberitahu ribut petir dan hujan lebat sehingga jam 5 petang di Kuala Lumpur, Selangor serta sebahagian Negeri Sembilan dan Alor Gajah di Melaka.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menerusi Twitter rasminya memaklumkan anggota mereka bertugas menyelamatkan mangsa banjir kilat yang melanda di sekitar ibu negara.

Dalam masa sama, lebih 100 penduduk Kampung Pasir yang terletak berdekatan Sungai Klang di Kuala Lumpur dipindahkan akibat banjir.

Di terowong Jalan Chan Sow Lin pula, seorang pemandu (gambar atas) diselamatkan selepas keretanya ditenggelami banjir.

Sejumlah kenderaan di kawasan parkir KLCC turut ditenggelami air.

Ramai pengguna jalan raya sekitar ibu kota juga dilihat menanggung kerugian besar selepas kenderaan masing-masing yang di parkir terbuka dan bawah tanah dalam bangunan ditenggelami banjir.

Banjir teruk KL: 'Tiada tindakan, tiada pengumuman, macam tiada menteri'
Warga kota menanggung banyk kerugian akibat banjir kilat teruk petang tadi.
MET pada jam 1.35 petang hari ini memberitahu ribut petir dan hujan lebat di Kuala Lumpur berlaku sehingga 5 petang.