Banjir: Tiada isytihar darurat, Pulau Pinang hargai Zahid, ATM

Banjir: Tiada isytihar darurat, Pulau Pinang hargai Zahid, ATM

Tidak perlu untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytiharkan keadaan darurat bencana kerana keadaan buat masa ini adalah terkawal selepas wujudnya kerjasama dan bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk menangani bencana ribut kencang dan banjir yang paling teruk dalam sejarah Pulau Pinang.

Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam kenyataan semalam berkata, Darurat akan disytiharkan oleh kerajaan negeri sekiranya dianggap perlu selepas perundingan dan nasihat daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri harap semua majikan boleh memberikan kelonggaran kepada pekerja mereka dengan memberikan masa untuk jalankan kerja pembersihan dan pembaikan semula atas hartanah mereka.

“Semua pihak agensi kerajaan negeri dan persekutuan akan berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin, khususnya sekolah-sekolah menengah yang akan menjalankan peperiksaan SPM esok,” ujarnya.

Bencana yang paling teruk dengan kelebatan hujan yang amat tinggi di beberapa tempat dan yang paling tinggi yang pernah direkodkan ialah di Seberang Perai Utara sebanyak 372mm (Stesen Pajak Song).
Ahli Exco Tebatan Banjir YB Chow Kon Yeow akan memberikan butiran lanjut dari masa ke semasa.

Banjir berlaku disebabkan Pulau Pinang mengalami tempias Taufan Damrey yang beberapa jam sebelum ini telahpun melanda Vietnam dan membunuh sekurang-kurangnya 19 orang di sana.

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia telah memberikan amaran merah hujan amat lebat untuk Pulau Pinang dan Kedah. Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga untuk tiga orang dilaporkan mati dalam bencana angin ribut dan banjir pada Sabtu.

Kerajaan negeri juga sedih atas kehilangan dan kerugian yang dialami oleh bencana angin ribut dan banjir ini.

Dalam bencana semalam, angin ribut telah mengakibatkan pokok tumbang dalam 100 kawasan di seluruh negeri serta beberapa kes tanah runtuh dalam kawasan pulau.

Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Operasi Banjir Pulau Pinang Datuk Seri Farizan Darus dan Datuk Bandar MBPP akan memberikan butiran lanjut.

Kerajaan negeri berterima kasih kepada pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perkhidmatan Bomba, semua pejabat daerah, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan agensi kerajaan negeri kerana bertungkus lumus tanpa kira penat lelah untuk menjalankan kerja penyelematan.

Tetapi dengan bencana angin ribut dan banjir yang begitu kuat, keadaan bertambah amat genting awal pagi tadi, sehingga kerajaan negeri terpaksa meminta bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu dan menyelamatkan keadaan.

“Saya menghargai kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid kerana sudi menerima panggilan telefon saya sungguhpun pada waktu 3.30 pagi dan bertindak segera untuk mengerahkan ATM membantu Pulau Pinang.
“Beliau juga telah memanggil saya sekali lagi pada pagi ini untuk memberikan jaminan akan membantu Pulau Pinang dan apa yang diperlukan untuk keadaan pulih.

“Kami amat terima kasih kepada seorang pemimpin yang tidak memilih politik dalam saat genting ini. Terima kasih juga kepada ATM yang bergegas datang ke Pulau Pinang,” ujarnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote