Malaysia Dateline

Banjir: Walaupun BN PN kena maki hamun, isu perkauman tetap dimainkan PRU nanti

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengingatkan ahli parti supaya tidak terperangkap dengan maki hamun netizen terhadap kerajaan BN PN sebaliknya terus fokus kepada bantuan dan kemanusiaan mangsa-mangsa banjir.

Beliau berkata, jangan mudah terperangkap dengan maki hamun kerana menjelang pilihan raya nanti isu-isu perkauman akan dimainkan juga oleh BN PN.

“Apabila banjir besar melanda Selangor dan negeri negeri lain, kita melihat netizen begitu kuat menghentam kerajaan BN PN.

“Menteri-menteri dan Perdana Menteri sendiri dihentam begitu teruk di atas kelemahan menguruskan banjir,” kata beliau.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja tidak menafikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan menteri-menterinya lemah, hakikatnya mereka Melayu Islam.

“Jika kita menyokong parti lain khasnya Pakatan Harapan, di belakangnya DAP. Cina akan berkuasa.

“Saya yakin segala maki hamun terhadap kelemahan kerajaan BN PN sekarang akan tenggelam dengan isu perkauman sebegini, sebagaimana yang dimainkan di Pilihan Raya Negeri Melaka.

“Semua orang bercakap tentang hasil bumi negeri Melaka khususnya pasir-pasir dijual oleh pemimpin Umno, tetapi apabila pilihan raya, dimainkan isu sebaik mana pun Adly Zahari ketika menjadi Ketua Menteri, di belakang beliau ada DAP.

“Eloklah kita undi parti Melayu yang korup asalkan mereka Melayu Islam,” ujar Mohamad Sabu.

Justeru katanya, inilah perangkap yang di ulang-ulang untuk survival politik Umno BN dan jangan sekali-kali terperangkap.

“Ketika ini fokus kita ialah membantu mangsa-mangsa banjir untuk menguruskan kehidupan mereka pasca banjir tanpa mengira kepentingan politik.

“Tidak kira sesiapa sahaja mangsa dan sesiapa sahaja yang datang membantu, sama ada dalam kalangan Ngo, orang perseorangan dan parti politik yang berbeza, kita sangat alu-alukan.

“Kemanusiaan, mengatasi batas-batas perbezaan,”kata beliau lagi.