Malaysia Dateline

Bank Islam di Malaysia perlu laksana prinsip Maqasid Syariah

Institusi perbankan Islam di Malaysia perlu¬†memenuhi prinsip Maqasid Syariah dalam operasi mereka untuk membentuk sistem perbankan yang ‘vibrant’ serta mampu menyelamatkan ekonomi umat, kata¬†Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Maqasid Syariah mempunyai keadilan, penglibatan yang lebih ramai dan memberikan ekonomi alternatif yang benar-benar dapat meyakinkan umat dan manusia lain.

“Ini kerana bank Islam kalau tidak diurus mengikut prinsip Maqasid Syariah, akan hanya memberi manfaat kepada yang kaya dan senang manakala yang mereka yang susah dan tidak ada cagaran tidak akan mendapat pinjaman,” katanya pada Bicara Khas sempena Majlis Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 pada Selasa.

Beliau seterusnya turut menyentuh keperluan sesebuah institusi agama untuk mempunyai sistem tadbir urus yang baik dan berkesan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Katanya kegagalan tadbir urus menjadi punca kepada permasalahan besar termasuk rasuah dan salah guna kuasa.

“Tanpa tadbir urus yang baik, seluruh sistem itu akan longgar seterusnya terhakis keyakinan terhadap sesebuah institusi agama itu.

“Disebabkan itu tercelanya akauntabiliti dan kebertanggungjawaban sehingga berlaku peruntukan disalah guna dan sebagainya.

“Jadi saya harap, institusi agama perlu kembali kepada perkara asas, etika dan moral yang sangat berkait rapat dengan tadbir urus yang baik. Jadikan isu tadbir urus ini sebagai sesuatu yang harus diteliti dan dikaji tahap keberkesanannya,” katanya.