Malaysia Dateline

Bank Islam jangka pertumbuhan pinjaman 7-8 peratus tahun depan

Bank Islam Malaysia Bhd dijangka meraih pertumbuhan pinjaman sebanyak tujuh hingga lapan peratus pada 2019, rendah berbanding sasaran tahun ini berikutan persekitaran perniagaan yang amat mencabar.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed, bank itu berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan pinjaman sebanyak kira-kira lapan peratus pada tahun ini, kebanyakannya dipacu daripada segmen perbankan pengguna.

“Menyedari cabaran pada tahun akan datang, pertumbuhan pinjaman kami dijangka menjadi lebih rendah.

“Walaupun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar, infrastruktur jualan sedia ada kami terutamanya, segmen pengguna terus mengukuh bagi menyokong pertumbuhan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini selepas majlis penamatan Program Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana (PKS), yang dibiayai sepenuhnya oleh Bank Islam dengan perkongsian Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia.

Beliau menyatakan untuk 2018, walaupun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih rendah di bawah lima peratus, segmen pengguna terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi.

“Tanpa segmen pengguna, KDNK mungkin menjadi lebih rendah. Sebanyak 75 peratus perniagaan Bank Islam bergantung kepada perbankan pengguna, dan ditunjangi oleh pertumbuhan segmen ini, kami sekali lagi yakin akan mencapai pertumbuhan 7-8 peratus pada tahun depan,” kata Muazzam.

Beliau ketika bercakap mengenai Program Pembangunan PKS, berkata ia merupakan satu pelaburan yang dibuat oleh bank itu bagi membantu usahawan mewujudkan peluang pekerjaan serta ekonomi dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan sokongan perniagaan, latihan, pendidikan dan kewangan.

Kira-kira 33 graduan PKS telah menamatkan program selama tujuh minggu ini.

Menerusi program tersebuti, pelanggan Bank Islam yang terpilih, ditawarkan kursus yang merangkumi topik-topik seperti pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, operasi, syariah serta urus tadbir korporat, ia bertujuan untuk memberi pelanggan dalam segmen PKS kemahiran yang diperlukan termasuk pengetahuan bagi menguruskan perniagaan mereka dengan lebih baik.

“Seperti yang kita tahu, antara cabaran yang dihadapi oleh institusi kewangan dalam memberikan pembiayaan kepada PKS adalah disebabkan kekurangan kawalan operasi dan pengurusan kewangan. Program ini diharap dapat meningkatkan kawalan perniagaan mereka, disamping membantu mereka melebarkan rangkaian,” katanya.

Pihak bank akan meneruskan program ini pada tahun depan dan dijangka akan meningkatkan penyertaan kepada 100 peserta dengan peruntukan penajaan sebanyak kira-kira RM300,000.

Menurut beliau lagi, sejak penubuhan Bahagian Perbankan PKS pada 1 Jan 2018, Bank Islam telah mengambil satu langkah tambahan bagi membantu perkembangan PKS, yang kemudiannya, akan mengukuhkan ekonomi sebenar dan akhirnya menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.

Setakat ini, jumlah pembiayaan Bank Islam kepada PKS sudah mencecah RM2.3 bilion termasuk pelanggan PKS daripada Perbankan Komersil dan  Perbankan PKS, yang merupakan kira-kira 5 peratus daripada jumlah pembiayaan aset, katanya.

Bahagian PKS akan terus menjadi antara bidang-bidang pertumbuhan bank berkenaan walaupun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar, bank menyasarkan pertumbuhan pembiayaan kira-kira RM200 juta bagi segmen tersebut pada tahun depan, katanya.

— BERNAMA