Bank Makanan untuk Maahad Tahfiz perlu jadi realiti, kata Nurul Izzah

Bank Makanan untuk Maahad Tahfiz perlu jadi realiti, kata Nurul Izzah

Cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh untuk menubuhkan sebuah ‘bank makanan’ bagi membantu Maahad Tahfiz di seluruh negara adalah satu cadangan positif.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui, selepas menyampaikan sumbangan zakat UMW Corporation berjumlah RM380,000 kepada 38 Maahad Tahfiz yang berdaftar di Pulau Pinang semalam.

Jelasnya lagi usaha tersebut perlu disokong dan menjadi realiti secepat mungkin.

“Adalah difahamkan di Perancis mereka mempunyai undang-undang dengan mengambil tindakan terhadap hotel-hotel yang membazirkan makanan.

“Oleh kerana itu adalah tidak salah sekiranya negara kita juga turut mempunyai undang-undang sedemikian.

“Secara tidak langsung ia mendidik masyarakat supaya tidak nembazir dan seterusnya memanfaatkan makanan lebihan untuk golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, proposal Timbalan Menteri tersebut mampu meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh sesetengah Maahad Tahfiz terlibat.

Loading...

Pada 22 November lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dalam temubual eksklusif dengan Malaysia Dateline telah menyatakan ide untuk mewujudkan ‘Bank Makanan’ bagi membantu maahad tahfiz di seluruh negara.

Ide itu tercetus hasil daripada pertemuan tertutup yang diadakan oleh beliau bersama dua wakil Persatuan Permata Al-Quran dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (Pitas) baru-baru ini.

Baca: Wujudkan ‘Bank Makanan’