Malaysia Dateline

Bank Negara ada kuasa penuh arahkan moratorium kepada M40, kata Adun

Bank Negara sebagai bank pusat mempunyai kuasa penuh untuk mengarahkan institusi-institusi kewangan memberikan moratorium kepada semua golongan M40, kata Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, bank pusat boleh mengarahkan moratorium diberikan berdasarkan seksyen 5 Akta Bank Negara (2009) yang memperuntukkan fungsi Bank Negara untuk mengatur dan mengawal selia institusi kewangan.

Manakala seksyen 72 pula memberi kuasa untuk membuat apa-apa polisi monetari dan kewangan di mana ianya termasuklah polisi moratorium pinjaman.

“Walaupun Bank Negara perlu bertindak bebas dalam menentukan dan mengawal selia polisi monetari dan kewangan negara, namun kerajaan melalui Menteri Kewangan boleh mengadakan konsultansi dengan Bank Negara berkaitan moratorium sepertimana peruntukan seksyen 72 Akta Bank Negara.

“Jika moratorium ke atas golongan B40 boleh dibuat, kenapa pula ke atas M40 tidak boleh. Bank tidak akan gulung tikar hanya dengan moratorium ke atas golongan B40 dan M40,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Faiz yang juga seorang peguam, golongan M40 walaupun mempunyai pendapatan lebih, namun dengan kadar inflasi yang dijangka meningkat 5 peratus pada suku tahun ini, kehidupan mereka juga terkesan teruk.

Menurutnya, golongan ini perlu dibantu dengan memberikan moratorium ke atas pinjaman perumahan, sewa-kereta, pinjaman peribadi mahupun pendidikan.

Malah katanya, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 memberi kuasa yang cukup luas kepada kerajaan untuk membuat atau meminda apa sahaja undang-undang atau statut bagi mengarahkan moratorium.

“Ironinya, kerajaan menggunakan kuasa meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi, (tetapi seolah-olah) hilang kuasa apabila mahu membantu M40,” katanya lagi.

Faiz menambah, seksyen 6,7 dan 13 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 turut memberikan kuasa kepada Bank Negara menetapkan apa-apa polisi kewangan untuk dijalankan oleh bank atau institusi kewangan dan ini termasuklah moratorium ke atas golongan M40.