Bank Negara sahkan Irwan Serigar bukan lagi ahli lembaga

Bank Negara sahkan Irwan Serigar bukan lagi ahli lembaga

Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hilang statusnya sebagai ahli Lembaga Pengarah bank pusat itu berkuatkuasa 14 Mei lalu.

Menurut kenyataan BNM hari ini, hal tersebut memandangkan Irwan tidak lagi memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuat kuasa tarikh berkenaan.

“BNM ingin memaklumkan bahawa Mohd Irwan Serigar bin Abdullah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah BNM (Lembaga BNM) berdasarkan beliau memegang jawatan Ketua Setiausaha kepada Perbendaharaan.

“Memandangkan Mohd Irwan Serigar tidak lagi memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkuatkuasa 14 Mei 2018, beliau tidak lagi menjadi anggota lembaga BNM berkuatkuasa dari tarikh itu,” kata BNM.

Irwan yang memegang jawatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan sejak 2011 juga merupakan Pengerusi syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau pada 14 Mei lalu bagaimanapun dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuatkuasa serta-merta sehingga 13 Jun ini.

Irwan ketika kerajaan BN juga memegang jawatan Pengerusi di Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC) yang bekerjasama dengan Impact4Humanity, iM4U, myHarapan, Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Yayasan Hasanah, eFM, dan ngohub.asia.

 

CATEGORIES