Malaysia Dateline

Bank pusat dijangkakan cenderung kepada pelonggaran dasar : Kenanga

Dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memutuskan untuk tidak menaikkan kadar faedah tahun ini susulan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, pendirian monetari Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangkakan cenderung ke arah pelonggaran, kata Kenaga Investment Bank Bhd.

Berdasarkan kedudukan ekonomi hari ini, beliau berkata pendirian Fed yang semakin berhati-hati ke atas pertumbuhan dengan mengambil langkah tidak menaikkan kadar faedah, bank-bank pusat dunia kebanyakkannya mula mengalihkan dasar kewangan mereka ke arah pendirian yang lebih neutral atau bergerak ke arah pelonggaran.

“Hasilnya kami percaya, ia juga akan memberikan lebih banyak ruang kepada BNM untuk menyesuaikan kadar faedah penanda aras jangka pendeknya yang lebih rendah tahun ini.

“Ia juga bermakna BNM berkemungkinan akan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR),” katanya.

Namun katanya keputusan menurunkan kadar oleh BNM masih bergantung kepada tahap penurunan trajektori pertumbuhan Malaysia.

“Sekiranya penunjuk ekonomi domestik ketara perlahan, kami menjangkakan BNM tidak teragak-agak untuk merendahkan dasar monetari dan menurunkan OPR.

Buat masa ini, kami mengekalkan pendirian bahawa OPR tidak berubah tahun ini,” kata bank itu.

Ia juga berkata terdapat petunjuk bahawa BNM akan mengunjurkan keluaran dalam negara kasar yang lebih rendah bagi 2019 berbanding 4.9 peratus yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan, serta isyarat bahawa bank pusat akan menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang akan datang pada Mei, akan memberikan alasan yang kukuh untuk menjangkakan penurunan kadar pada separuh kedua tahun ini.

“BNM akan mengumumkan laporan tahunannya pada 27 Mac dan memberi unjuran baharu mengenai ekonomi untuk tahun ini, yang mungkin berbeza dengan unjuran Kementerian Kewangan yang dilihat masih menjangkakan prospek yang lebih besar,” kata Kenaga Investment Bank.

— BERNAMA