Bank Rakyat diminta tambah peruntukan bagi koperasi, PKS kepada 30 peratus

Bank Rakyat diminta tambah peruntukan bagi koperasi, PKS kepada 30 peratus

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) meminta sebuah agensi di bawahnya, Bank Rakyat, meningkatkan peruntukan pembiayaan perniagaan koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada 30 peratus dalam beberapa tahun akan datang.

Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata pada masa ini peruntukan pembiayaan bagi koperasi dan PKS hanya 10 peratus sahaja.

“Bank Rakyat perlu melihat semula peruntukan pembiayaan yang ditawarkan supaya memberi lebih fokus kepada bantuan perniagaan koperasi dan pembiayaan PKS.

“Setakat ini, sebanyak 90 peratus pembiayaan oleh Bank Rakyat adalah dalam bentuk pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rubiah Wang (BN-Kota Samarahan) mengenai usaha kerajaan untuk menggalakkan penyertaan ramai rakyat Malaysia dalam koperasi bagi mencapai matlamat membudayakan gerakan itu.

Mohd Redzuan berkata MED telah melancarkan Rangka Kerja Keusahawanan Negara pada November 2018 yang menggariskan hala tuju gerakan koperasi di bawah teras strategik ketiga iaitu memperkasa keusahawanan dalam kalangan B40 yang akan memacu koperasi sebagai penggerak utama ekonomi dan keusahawanan sosial.

“Setakat ini, aktiviti koperasi yang paling banyak menyumbang kepada jumlah perolehan dan Keluaran Dalam Negara Kasar adalah perbankan dan kredit,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan perangkaan pada 2017, sejumlah 589 koperasi perkhidmatan kewangan atau 4.24 peratus telah menyumbang perolehan sebanyak RM33.45 bilion atau 83.12 peratus.

Pada 2018, sebanyak 14,245 koperasi berdaftar di Malaysia dengan 6.5 juta anggota, bermodal syer sebanyak RM14.78 bilion dan nilai aset berjumlah RM140.39 bilion.

— BERNAMA