Bantah hukuman penjara seumur hidup, 10 kali sebatan

Bantah hukuman penjara seumur hidup, 10 kali sebatan

Pelbagai pihak membantah cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengetatkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi membolehkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan kepada pembocor rahsia rasmi negara dan wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka.

Pelbagai pihak membantah cadangan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mengetatkan lagi Akta Rahsia Rasmi 1972 bagi membolehkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan kepada pembocor rahsia rasmi negara dan wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka.

Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Schave Jerome De Rozari berpendapat cadangan Apandi bertentangan dengan etika kewartawanan yang bersifat melindungi sumber maklumat yang diperolehi untuk sesuatu laporan berita.

“Ia disifatkan satu kezaliman kerana tugas wartawan adalah untuk melaporkan kebenaran dan bukan sebaliknya. Setiap rakyat wajib mengetahui apa-apa sahaja yang ada kaitannya dengan agama, bangsa dan negara,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, wartawan di negara ini dikehendaki membuat laporan hanya berpandukan fakta yang jelas dan sumber yang sah serta mengikut rukun moral seperti digariskan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (National Union of Journalists Peninsular Malaysia).

Berdasarkan prinsip tersebut, wartawan perlu menghormati kebenaran dan hak orang ramai untuk mendapatkan laporan yang benar dan tepat, mempertahankan dua prinsip penting iaitu kebebasan mencari dan mencetak laporan secara jujur serta hak mengulas dan menegur secara adil tanpa tekanan daripada pelbagai pihak.

Lindungi pecah amanah?

Bagi Pusat Perlindungan Pemberi Maklumat dan Pemantau Kebangsaan atau National Oversight and Whitsleblowers (Now) yang dikenali banyak membongkar kes penyelewengan pihak kerajaan, langkah Apandi untuk meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 itu seolah-olah melindungi mereka yang pecah amanah.

Menurut Pengarahnya, Akmal Nasir, undang-undang dan pengutkuasaan sepatutnya menumpukan kepada usaha mengangkat tatakelola yang baik, keterbukaan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berpendapat kebocoran maklumat berkaitan salah guna kuasa, ketirisan dan pecah amanah hanya berlaku apabila hilang keyakinan terhadap organisasi itu.

“Kegagalan tindakan pembaikan dan pencegahan secara dalaman menyebabkan pemberi maklumat mencari saluran alternative Kebanyakan pendedahan dibuat demi kepentingan orang ramai dan berupaya menghentikan daripada perkara itu terus berulang,” ujarnya dalam kenyataan media.

Dalam hal berkaitan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, semangat perlembagaan serta undang-undang negara yang luhur dalam sesebuah negara demokrasi adalah untuk menyebelahi dan menegakkan kebenaran.

“Saya tidak nafikan bahawa rahsia dan keselamatan negara mesti dipelihara. Namun dalam isu melibatkan dana RM2.6 bilion, AG (Peguam Negara) seharusnya menjawab khilaf terhadap percanggahan kenyataan awal beliau yang telah ‘membersihkan’ nama PM (Perdana Menteri) apabila mendakwa RM2.6 bilion sebagai wang sumbangan.

“Menteri Luar Saudi, Adel bin Ahmed al-Jubeir menyatakan bahawa beliau tidak fikir RM2.6 bilion itu sebagai sumbangan politik atau ia berasal dari kerajaan Arab Saudi sebaliknya merupakan ‘pelaburan’ yang tidak dinyatakan,” ujarnya dalam kenyataan media.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar menggesa Peguam Negara merungkai persoalan berkenaan dana RM2.6 bilion itu dan mengangkat kebenaran memandangkan rakyat pada masa ini seolah-olah dipermainkan dengan pelbagai kenyataan tidak konsisten berhubung dana tersebut.

“Apakah AG akan menuruti langkah PDRM yang mewujudkan PCIRC (Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis) yang kelihatan seakan-akan mengancam serta menyekat kritikan dan persoalan yang timbul dikalangan rakyat yang peka terhadap isu-isu melibatkan negara?

“Kegilaan apakah ini? Jika keadaan ini berterusan, saya fikir rakyat bukan sahaja akan melakarkan imej wajah PM Najib untuk di’badut’kan, bahkan rakyat akan hilang percaya kerana keseluruhan sistem di negara ini seakan-akan telah di’badut’kan oleh tangan-tangan berkepentingan yang gagal meletakkan kebenaran ditempat paling atas mengatasi segalanya,” bidas Sheikh Omar lagi.

TAGS