Malaysia Dateline

Tentera regim haram Israel bertempur dengan pemuda Palestin di pekarangan Masjidil Aqsa

Bantah kebiadapan Israel tutup Masjidil Aqsa di kedutaan Amerika hari ini

Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan protes aman di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dekat Jalan Tun Abdul Razak di ibu negara seusai solat Jumaat tengahari ini bagi menunjukkan solidariti bersama umat Islam Palestin.

Terbaru, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyeru orang ramai untuk turut sama dalam protes aman itu.

Presidennya, Muhammad Khair Sujud mengecam sekeras-kerasnya sikap biadab Israel yang terus-menerus melakukan pencabulan ke atas bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa iaitu Tanah Suci ketiga umat Islam seluruh dunia.

“Sikap bongkak dan angkuh pihak zionis Israel jelas melanggar batasan hak asasi kemanusiaan masyarakat Islam Palestin.

“PKPIM akan bersama berpartisipasi dan menyatakan sokongan padu terhadap gabungan NGO-NGO Malaysia yang dibentuk untuk menggerakkan kempen ‘Selamatkan al-Quds’ yang akan menganjurkan Himpunan Aman Untukmu Al-Aqsa di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat… selepas Solat Jumaat, ujarnya dalam satu kenyataan.

Himpunan ini diadakan sebagai respon dan unjuk rasa terhadap pencerobohan dan penutupan Masjid al-Aqsa serta tindakan bongkak tentera zionis yahudi yang menghalang umat Islam menunaikan solat di Masjid Aqsa.
 
Khair menyeru para pelajar dan mahasiswa seluruh negara tanpa mengira agama, bangsa dan politik untuk sama-sama menyatakan bantahan dengan menyertai himpunan itu sebagai isyarat keras buat  sekutu kuat Zionis Israel, Amerika Syarikat pimpinan Donald Trump yang jelas mendanai serta melindungi kepentingan Zionis di bumi Palestin.
 
“PKPIM bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) akan turut menjayakan kempen #NaikMRTIngatPalestin sebagai usaha advokasi dan bantahan secara besar-besaran di media sosial bagi menghantar mesej kepada seluruh masyarakat dunia agar sama-sama menyatakan solidariti kepada perjuangan umat Islam Palestin.
 
“PKPIM sekali lagi menyeru masyarakat Malaysia menyertai seluruh komuniti sedunia bagi  sama-sama menyatakan  sokongan terhadap sebarang usaha bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan terus bersama-sama melakukan  tekanan global terhadap Israel dan sekutu kuat mereka,” ujarnya.
 
PKPIM juga, tambah Khair menyeru pemimpin Malaysia memainkan peranan di pentas global bersama-sama seluruh negara Islam melalui OIC bagi menyatakan bantahan  dan mengambil tindakan tegas terhadap Israel dalam isu Palestin  bagi memastikan nasib Al-Aqsa terbela.

Beliau turut memetik kata-kata pejuang hak asasi manusia Afrika Selatan, Nelson Mandela bahawa, “Pembebasan kita tidak sempurna tanpa pembebasan rakyat Palestin”.