Bantah konsert Selena Gomez ibarat bunuh cicak, kata Pemuda Pas Selangor

Bantah konsert Selena Gomez ibarat bunuh cicak, kata Pemuda Pas Selangor

Pemuda Pas Selangor menyifatkan bantahan terhadap konsert penyanyi Amerika Syarikat, Selena Gomez ibarat membunuh cicak dalam usaha mencegah kemungkaran.

Pemuda Pas Selangor menyifatkan bantahan terhadap konsert penyanyi Amerika Syarikat, Selena Gomez ibarat membunuh cicak dalam usaha mencegah kemungkaran.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, bantahan terhadap artis berpakaian seksi itu sesuai dengan tuntutan amal makruf nahi mungkar.

“Apabila berlaku kemungkaran, kita kena cegah walaupun kecil dan diharap usaha kita ini menjadi amal soleh.

“Samalah seperti membunuh cicak yang memarakkan api ketika Nabi Ibrahim dibakar,” ujarnya di hadapan penyokong Pas selepas penyerahan memorandum bantahan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam petang tadi.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor, Ustaz Ridzuan Rahmat berkata, pihaknya mendesak Menteri Besar membatalkan konsert bekas teman wanita Justin Bieber itu.

“Kita ditanya adakah Pas terlalu jumud (membantah konsert). Kita bukan bencikan hiburan tapi membantah perkara yang melanggar syariat dan membawa kemungkaran,” tegasnya disambut laungan takbir, “AllahuAkbar” oleh kira-kira 50 penyokong parti itu.

Tak puas hati

Beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali yang membenarkan penganjuran konsert tersebut, 25 Julai ini.

“Kita kesal walaupun mendapat bantahan ahli majlis tetapi kita dimaklumkan ini arahan Menteri Besar.

“Kita tidak berpuas hati apabila isu ini dianggap terlalu remeh. Penyanyi itu membawa simbol seksi yang membawa kerosakan kepada anak muda,” ujarnya.

Ditanya tentang kemungkinan Pas Selangor akan menilai semula kedudukannya dalam kerajaan negeri, beliau menjawab, “tiada kaitan dengan pentadbiran.”

“Kita minta supaya Menteri Besar tengok balik keputusan ini (membenarkan konsert Selena),” ujar Ridzuan ketika ditanya Malaysia Dateline.

Dalam hal berkaitan, beliau menyeru NGO lain turut menyuarakan bantahan terhadap konsert yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah The Revival Tour yang telah bermula di AS Mei lalu itu.

Sementara itu, doa yang dibacakan *Ustaz Nik Baki Nikmat* dari Dewan Ulama Selangor sebelum peserta himpunan protes tersebut bersurai turut menggesa supaya Azmin membatalkan konsert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Malawati itu.

TAGS