Bantah Oktober Fest: Mahu ikut syarak atau semarak kebencian kaum?

Bantah Oktober Fest: Mahu ikut syarak atau semarak kebencian kaum?

Cara pengikut sebuah parti membantah pesta arak Oktober Fest diragui sama ada tindakan itu kerana menegakkan syarak atau menyemarakkan kebencian kepada kaum tertentu.

Naib Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata, Oktober Fest telah menjadi viral kerana penentangan sebuah parti atas alasan tidak menghormati orang Islam.

“Bantahan mereka yang dikuti dengan kecaman dan celaan kepada pihak-pihak lain yang didakwa tidak membantah dan menyokong pesta tersebut telah mempopularkan lagi Oktober Fest ini,” katanya di status Facebooknya.

Che Ibrahim Mohamed

Menurutnya apa yang lebih mendukacitakan lagi, golongan ini seolah-olah pekak dan buta ke atas hujah pihak lain.

“Siapa saja yang mengkritik cara bantahan yang mereka buat, atau membela diri atas kecaman berlebihan mereka, maka terus dituduh sebagai menyokong pesta arak dan khadam DAP,” katanya.

Semalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 yang dirancang pada 6 dan 7 Oktober depan di ibu negara.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Khalid Zakaria berkata DBKL menolak permohonan yang yang diterima pada 28 Ogos lalu.

“Permohonan aktiviti itu pada tempat, masa dan tarikh yang dinyatakan adalah tidak diluluskan.

“Sekiranya penganjur meneruskan aktiviti tersebut, DBKL berhak mengambil tindakan bawah peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Better Beer Festival adalah acara untuk merasai produk pengeluar bir bebas. Penganjuran masuk tahun keenam pada tahun ini.

Ia dianjurkan oleh pengedar bir MyBeer (M) Sdn Bhd.

CATEGORIES
TAGS