Bantah syor Peguam Negara penjara seumur hidup pembocor rahsia

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli akan memulakan satu kempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia bagi menolak cadangan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang berhasrat meminda Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berkata, cadangan Apandi untuk mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup dan sebatan kepada individu pemberi maklumat (whistleblowers) wajar dicemuh oleh seluruh rakyat negara ini yang mencintai kebenaran.

“Satu lagi unsur penindasan yang dicadangkan oleh beliau (Apandi) ialah untuk mendakwa mana-mana wartawan dan editor berita yang menerbitkan berita berkenaan maklumat yang bocor,” ujarnya yang juga Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Apandi mengusulkan pindaan berkenaan pada ketika kredibilitinya sebagai Peguam Negara berada pada tahap paling rendah kerana menutup siasatan terhadap Perdana Menteri berhubung isu RM2.6 bilion.

“Sudah tentu cadangan pindaan itu dilihat sebagai usaha lanjut untuk menutup sebarang pendedahan mengenai salah laku atau penyelewengan kerajaan Barisan Nasional.

“Sejak tujuh tahun lalu, pelbagai salahlaku penyelewengan dan rasuah telah didedahkan kepada orang ramai berikutan dokumen-dokumen yang bocor.

“Saya sendiri banyak mengendalikan pendedahan-pendedahan ini termasuklah skandal NFC, skandal 1MDB, pembelian jet mewah, penganugerahan kontrak LRT kepada George Kent oleh Perdana Menteri yang tidak mengikut saranan Jawatankuasa Perolehan dan bermacam-macam lagi,” jelasnya.

Mengulas kebocoran maklumat yang menjadi salah satu sebab utama imej Barisan Nasional jatuh merudum, beliau berkata, punca kepada keadaan tersebut adalah kerana gejala rasuah dan penyelewengan di peringkat pimpinan kerajaan yang terlampau.

Hal ini, ujarnya, menyebabkan mereka yang mengetahuinya mengambil risiko membocorkan maklumat berkenaan demi kepentingan umum.

“Saya mengesyorkan supaya Tan Sri Mohamad Apandi Ali membatalkan hasratnya meminda Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum beliau sendiri terjebak di dalam kebangkitan kemarahan rakyat yang kini disasarkan kepada Perdana Menteri,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, pengamal undang-undang, Syahredzan Johan menyifatkan saranan Peguam Negara itu sebagai keterlaluan memandangkan perlindungan rahsia bukanlah suatu keutamaan kepada negara.

“Korupsi barah lagi teruk dan menyebabkan kehilangan besar buat negara, tapinampak seperti tidak pula dipentingkan oleh Peguam Negara.

“Peguam Negara juga mahu dakwa wartawan yang tidak mahu dedahkan sumber. Peguam Negara nampaknya langsung tidak menghormati etika kewartawanan,” ujarnya lagi dipetik dari catatannya di Facebook.

TAGS