Bantah TPPA : Syor kerajaan kukuhkan kerjasama Asean dan OIC

Bantah TPPA : Syor kerajaan kukuhkan kerjasama Asean dan OIC

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perjanjian perdagangan kontroversi TPPA tidak boleh hanya dinilai dengan pandang sisi hubungan perdagangan dan ekonomi semata-mata.

Faktor politik ekonomi juga seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya supaya Malaysia tidak terperangkap dalam permainan politik kuasa besar terutamanya Amerika Ssyarikat (AS) sebagai negara utama dalam TPPA.

AS bimbangkan pengaruh China yang semakin berkembang, malah penubuhan Bank Pembangunan Baharu (New Development Bank) dan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) melalui kerjasama erat dikalangan negara-negara BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) boleh menggugat AS sebagai kuasa besar ekonomi dunia.

TPPA adalah medan terbaik bagi menggantikan peranan World Trade Organisation (WTO) yang kelihatannya kurang berfungsi untuk mendokong ekonomi AS. Tambahan pula, isi kandungan dan skop yang terdapat dalam TPPA adalah lebih meluas dan mendalam, menjadikan ia suatu bukan perjanjian perdagangan yang biasa.

AS hanya melihat bagaimana untuk terus mengekalkan dominasi mereka dalam penguasaan ekonomi dunia, melalui peranan yang disokong oleh IMF dan Bank Dunia, seterusnya menyekat kebangkitan pesaingnya terutama China.

Maka, tidak mustahil kesemua ini menjadikan TPPA bentuk sebuah “penjajahan moden”, bukan semata-mata perjanjian perdagangan seperti yang diwar-warkan pihak kementerian.

Dewan Pemuda Pas Pusat Malaysia (DPPM) memandang TPPA tidak lebih dari kehendak AS yang dilihat begitu terdesak untuk menguasai rantau ASEAN dan kesatuan Pasifik. Malah, perjanjian ini juga akan mengukuhkan lagi penguasaan Dollar seperti yang diinginkan AS.

Tambahan pula, aspek kerahsiaan rundingan awal yang berjalan selama 5 tahun sebelumnya masih tinggal misteri yang belum diselesaikan.

DPPM ingin menegaskan bahawa keterikatan Malaysia dengan kuasa besar AS tidak membawa apa-apa makna kepada pembangunan negara. Lebih malang lagi, ikatan perjanjian seperti TPPA ini akan menjadikan Malaysia lebih mudah tunduk kepada kuasa asing.

DPPM mengesyorkan kerajaan supaya mencari alternatif perdagangan seperti memperkukuhkan kerjasama ASEAN melalui ASEAN Economic Community (AEC) yang masih tidak begitu jelas fungsi dan peranannya, mahupun dikalangan negara-negara Islam OIC.

Ini sekurang-kurangnya dapat memberikan suatu persaingan yang lebih adil dan saksama dikalangan negara-negara yang terlibat dan matlamat yang sama dapat dicapai walaupun tanpa TPPA.

Suatu artikel bertarikh 9 April 2015 dalam sebuah website ‘Forbes’ yang bertajuk ‘TPPA is a mistake’ juga menekankan bahawa sepatutnya ASEAN dan kesatuan Pasifik lebih memfokuskan kepada memperkukuhkan kerjasama ‘intra-regional’ berbanding ‘inter-regional’ apatah lagi dimensi ‘inter-continental’.

DPPM juga ingin menyeru para profesional dan rakyat dari pelbagai latarbelakang agar bersama-sama membantah penyertaan Malaysia dalam TPPA dan turun pada Himpunan Aman Bantah TPPA pada hari esok, 23 Januari sebagai tanda solidariti. TPPA tidak mampu membantu meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan ia bukanlah jawapan yang diinginkan rakyat Malaysia ketika ini.

  * Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan.

CATEGORIES