Bantah Trump, Pakatan Harapan gesa OIC dan Parlimen bersidang

Bantah Trump, Pakatan Harapan gesa OIC dan Parlimen bersidang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Pakatan Harapan pagi ini menyerahkan memorandum membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Penyerahan memorandum di Kedutaan AS itu dihadiri pemimpin sayap Pemuda AMANAH, PKR dan Bersatu.

Pimpinan utama Pakatan Harapan turut hadir iaitu Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang juga Presiden AMANAH.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi itu dalam sidang media berkata, kemungkinan tercetusnya peperangan ekoran keputusan Trump adalah tidak dapat dielakkan.

Menurutnya, tindakan Israel memindahkan ibu negeri dari Tel Aviv ke Jerusalem akan mengundang konflik dan bencana dahsyat kepada rakyat Palestin yang selama ini ditindas.

“Jerusalem simbol kepada tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Judaisme yang (penganutnya) hidup aman damai ribuan tahun tetapi perbuatan Donald Trump menggamit kesusahan kepada rakyat Palestin.

“Sokongan kuat Donald Trump itu adalah pencetus keganasan dan peperangan yang disengajakan sedangkan sebelum ini rundingan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamad menyeru supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan persidangan segera manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencari jalan penyelesaian terbaik ekoran keputusan Trump itu.

“Kerajaan Malaysia juga perlu memanggil segera sidang Parlimen membincangkan masalah besar yang dicetuskan Donald Trump ini,” tegasnya.

Pemimpin Pakatan Harapan yang juga hadir ialah Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Turut serta Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut; Ahli Parlimen AMANAH Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen PKR Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Kelmarin, media antarabangsa melaporkan Trump akan mengumumkan pengiktirafannya terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tanpa menghiraukan amaran dunia tentang risiko tercetusnya keganasan di Asia Barat.

Sejak kempen pilihan raya tahun lalu, Trump telah berjanji untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS