Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

Banteras judi haram bidang kuasa kerajaan pusat

Membanteras judi haram adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat kerana lesen judi dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Guan Eng menjawab tuduhan MCA yang cuba mengaitkan isu pusat judi haram di Pulau Pinang dengan kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong di The Star Online, 30 Mei, bertajuk ‘Wee: Crackdowns need collaboration’.

“Isu judi haram di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, maka perlulah ditangani oleh kerajaan pusat, dan bukan babit kerajaan negeri.

“Lagipun, Ketua Polis Negeri (CPO) telahpun nafi bahawa Pulau Pinang paling banyak ada aktiviti pusat judi haram,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

Justeru, beliau mendesak supaya Ka Siong merujuk isu judi haram yang dibangkitkannya itu kepada Ketua Polis Negeri bersama bukti-bukti terperinci mengenai dakwaannya, lapor Buletin Mutiara.