Malaysia Dateline

Banteras kluster tempat kerja untuk berjaya lawan Covid-19

1. Saya menyambut baik perkembangan yang diumumkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) barubaru ini. Menurut Menteri Kerja Raya Datui Seri Haji Fadillah Haji Yusof, sebanyak 15 tapak binaan telah diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat 15 Februari 2021.

2. Tindakan mengeluarkan notis berhenti kerja terhadap 15 tapak kerana didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ini adalah wajar mengambil kira kadar penularan wabak Covid19 dalam kluster tapak binaan yang sangat membimbangkan.

3. Tambahan lagi, kemungkinan penularan dalam masyarakat awam daripada kluster ini adalah tinggi memandangkan lokasi tapak binaan dan penempatan pekerja yang berdekatan dengan tempat awam. Untuk rekod, sejak 20 Sept 2020 hingga 12 Februari lepas, 61.85% daripada 852 kluster ialah kluster tempat kerja.

4. Namun, saya menyeru agar kerajaan terus serius dalam menangani kewujudan kluster baharu melibatkan tapak binaan dan tempat kerja. Kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri wajib memainkan peranan lebih tangkas.

5. Dengan tindakan terbaharu ini, timbul persoalan kepada apa perlunya kuasa di bawah perintah darurat untuk meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446 seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri pada 4 Februari lalu, sedangkan CIDB boleh arahkan penutupan tapak binaan?

6. Jika pun pindaan akta akan dilakukan (tanpa parlimen bersidang) di bawah kuasa perintah darurat, mengapa akta belum dipinda hingga sekarang setelah lebih sebulan perintah darurat berkuatkuasa? Di mana tindakan kesegeraannya?

7. Seperti yang disarankan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, tindakan tegas, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang harus dipraktikkan. Menurut beliau, faktor majikan yang memikirkan keuntungan tanpa mempedulikan kesihatan dan keselamatan pekerja menjadi antara punca penularan ini tidak dapat dikekang.

8. Sebagai contoh krisis penularan wabak Covid-19 di Kilang Top Glove yang pernah menjadi penyumbang terbesar pada kes positif Covid-19 wajar diberi perhatian. Masih wujud banyak majikan sektor perkilangan dan tempat kerja yang tidak menitikberatkan prosedur pematuhan SOP di tempat kerja. Umum memahami keperluan pembukaan sektor perkhidmatan dan penghasilan, namun langkah pencegahan dan SOP wajib digariskan dengan kemas dan jelas.

9. Saya percaya, sekiranya anggota kabinet, Menteri dan Timbalan Menteri benar-benar memikirkan soal kebajikan rakyat dan halatuju negara berbanding bermain politik dan kuasa, masih banyak ruang dan jalan yang wajar dirintis. Kaedah dan panduan dari negara yang berjaya mengekang penularan wabak Covid-19 harus dilazimi.

———————-
Penulis adalah Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi PKR Negeri Johor.