Banteras rasuah pencapaian luar biasa kerajaan PH

Banteras rasuah pencapaian luar biasa kerajaan PH
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang-menerima buku Plan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan hari ini.

Sebaik diberi mandat oleh rakyat mentadbir negara ini selepas PRU-14, 9 Mei 2018 lalu kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan slogan Malaysia Baharu bertekad untuk menghapuskan gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu.

Dengan ketegasan kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau berikrar akan memerangi gejala itu bagi memastikan pentabiran di bawah PH bebas dan bersih dari rasuah.

Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak membenarkan amalan tidak sihat itu menular di dalam pentadbiran mereka walau apa cara sekali pun.

Wan Anwar Wan Ibrahim

Menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Wan Anwar Wan Ibrahim, usaha kerajaan pada hari ini satu pencapaian yang luar biasa bagi membanteras gejala rasuah di dalam negara.

Katanya, ini dapat dibuktikan lagi apabila banyak kes rasuah yang melibatkan rejim yang lama telah mula disiasat  dan didakwa di mahkamah.

“Ia juga bukan hanya tertumpu kepada membasmi rasuah kerajaan lalu yang mewakili pembangkang bahkan juga melibatkan pegawai-pegawai di peringkat kerajaan hari ini.

“Di dalam isu ini, kerajaan tidak memilih warna kulit atau politik, adanya kes rasuah mereka akan ambil tindakan
menggunakan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya ketika dihubungi.

Walaupun usaha ini mungkin tidak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, bagi Anwar ianya adalah usaha yang sangat penting apatah lagi ianya ditangani dengan telus.

Katanya, tindakan membanteras gejala rasuah ini memberi keuntungan kepada kerajaan di mata dunia dengan meningkatkan kepercayaan mereka untuk melabur di negara ini.

“Kita dapati kepercayaan negara luar semakin melonjak dengan adanya pelabur-pelabur asing dalam negara akhirnya  rakyat juga akan mendapat manfaat dengan adanya peluang-peluang pekerjaan yang baharu.

“Ia tidaklah secara langsung terus dapat manfaat tetapi ia bersifat jangka masa panjang yang ada hubung kait dengan kestabilan ekonomi melalui keyakinan pelabur asing,” jelas beliau.

Beliau percaya, rakyat pada hari ini sudah tentunya mahukan sebuah kerajaan yang ada integriti sekali gus berbangga sebagai rakyat Malaysia yang bersih dari amalan rasuah.

Bahkan, usaha yang jitu ditunjukkan oleh kerajaan hari ini bertambah jelas apabila kerajaan telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 secara rasminya pada 29 Januari 2019 sejajar usaha merealisasikan manifesto kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti.

Pelan khusus itu dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain.

Pelan ini dibuat berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama di mana ia mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Bertemakan ‘Memecah Rantaian Rasuah’, NACP adalah pelan yang dibangunkan khusus untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Pelan khusus ini dibangunkan bagi menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh Iima tahun akan datang.

NACP dibangunkan bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN) dan ia diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada 8 Jun lalu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata antara intipati pelan berkenaan adalah rangkuman beberapa perkara dasar dan elemen penting termasuk manifesto kerajaan PH dalam memerangi rasuah.

“Selain itu, kita turut mengambil kira laporan yang dikemukakan oleh pihak jawatankuasa semakan yang dilantik oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

“Laporan berkenaan berkaitan perkara yang perlu dilakukan dan dijadikan asas kepada NACP, selain itu kita turut mengambil kira cadangan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) untuk dikaji dan dimasukkan dalam NACP,” katanya.

Usaha kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi rasuah di Malaysia sejak Jun lalu sudah mendapat kesan positif termasuk keyakinan pihak antarabangsa seperti UNODC, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).