Banteras rasuah, penyelewengan keutamaan PH, kata Mohamad

Banteras rasuah, penyelewengan keutamaan PH, kata Mohamad

Membanteras rasuah dan penyelewengan menjadi prioriti kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedia ada bagi memastikan rakyat dan negara ini dapat diselamatkan.

Malah ia menjadi keutamaan yang diperjuangkan supaya rakyat dan negara ini tidak menjadi seperti Greece yang terpaksa menanggung penderitaan akibat beban hutang melampau yang memudaratkan.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika ditemui media semasa majlis berbuka puasa di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor semalam.

Beliau berkata demikan sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahukan bekas pemimpin Pas yang kini menjadi Ahli Parlimen AMANAH supaya membentangkan Rang Undang-Undang RUU 355 di Parlimen.

“Isu RUU 355 ini akan dibincang dalam mesyuarat AMANAH terlebih dahulu sebelum sebarang pendirian diambil.

“Sekiranya terdapat agenda mengenai perkara tersebut maka barulah pendirian akan dibuat.

“Ia turut membabitkan tokoh-tokoh AMANAH yang mahir tentang agama serta melibatkan rang undang-undang tersebut, ” jelas beliau lagi.

Mohamad Sabu bersama penduduk kampung sebelum majlis berbuka puasa semalam.

Menurut Mohamad lagi, setakat ini pembongkaran dan pendedahan yang ditemui amat mengejutkan kepimpinan kerajaan PH.

“Usaha utama kita adalah bagi menyelamatkan negara dan rakyat terlebih dahulu.

“Seandainya isu penyelewengan serta korup yang telah jelas wujud tidak diberi keutamaan, adalah dibimbangi rakyat akan menjadi mangsa.

“Oleh kerana itu, menyelamatkan negara ini harus diberi keutamaan terlebih dahulu daripada lain-lain perkara yang cuba dibangkitkan ketika ini, ” ujar beliau lagi.

Menyentuh mengenai pembaharuan dalam Angkatan Tentera beliau berkata, pembaharuan yang hendak dilaksanakan bergantung kepada kewangan kerajaan.

Tegasnya lagi, peralatan di kesemua cabang Angkatan Tentera perlu dikaji semula supaya negara mempunyai peralatan tentera yang sofistikated.

“Kita mahu peralatan tentera berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi kesemuanya.

“Kebanyakan kapal-kapal tentera laut didapati uzur dan perlu diberi perhatian serius.

“Jika ada yang perlu diselenggarakan dengan kos yang tinggi maupun diganti, maka keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut terlebih dahulu, ” tambahnya lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS