Banteras rasuah perlu menyeluruh, kata MCFF

Banteras rasuah perlu menyeluruh, kata MCFF

Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mencadangkan supaya usaha membanteras rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada sektor awam dan swasta, bahkan turut melibatkan pemimpin politik.

Pengerusinya Halim Ishak berkata melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, diharap mampu menjadi jalan penyelesaian untuk menangani gejala rasuah sehingga ke peringkat akar umbi.

“Kita lihat sahaja bagi tempoh 2013 hingga 2018, enam daripada 10 aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), membabitkan sektor perkhidmatan awam. Sebaliknya, rasuah dalam sektor swasta hanya 17.06 peratus.

“SPRM juga perlu diberikan kebebasan melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa wujud sebarang tekanan mahupun campur tangan serta penglibatan pihak-pihak berkepentingan jika kerajaan benar-benar serius untuk menangani gejala rasuah di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Halim bagaimanapun menyokong penuh usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah di negara ini.

“Ia juga perlu disokong oleh segenap lapisan masyarakat. Pemberi, penerima dan pengamal rasuah adalah pengkhianat negara dan wajar dikenakan tindakan yang lebih berat dan tegas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar hukuman kepada pengamal rasuah dikaji semula supaya dapat memberi pengajaran yang lebih berkesan kepada masyarakat dalam usaha kerajaan untuk melahirkan rakyat yang bebas rasuah.

– BERNAMA