Malaysia Dateline

Bantu 20,000 penduduk PPR ekoran kawalan pergerakan

Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membantu kira-kira 20,000 penduduk miskin di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menegaskan, pengumuman pengecualian sewa sebulan hanya kepada peniaga yang menyewa premis DBKL serta bantuan kepada seramai 500 pekerja harian DBKL, adalah tidak mencukupi.

Ini kerana katanya, lebih ramai warga kota terutama golongan miskin bandar yang perlu diberikan pertolongan dengan meluaskan bantuan kepada penyewa unit PPR dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

“Saya difahamkan daripada 42,000 akaun penyewa rumah PPR dan PA DBKL, dianggarkan sekitar 50 peratus penyewa ini mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,000 sebulan.

“Saya percaya sekitar 20,000 keluarga ini sudah pasti menghadapi masalah pekerjaan dan pendapatan sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Pasti ramai di kalangan mereka yang meniaga tepi jalan, melakukan pelbagai kerja kecil (odd jobs) seperti mengasuh anak orang, yang akan terkesan dari segi kewangan,” kata Pengarah Komunikasi PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata, DBKL wajar dan mampu memberikan sewa percuma selama sebulan terutama kepada keluarga-keluarga di PPR & PA yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan.

Kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, bantuan tersebut dianggarkan akan menelan belanja sebanyak RM2.5 juta atau 0.08 peratus dari bajet tahunan DBKL bagi tahun 2020.

“Justeru, saya pohon bantuan tambahan ini disegerakan, demi kebajikan golongan miskin bandar,” katanya.