Malaysia Dateline

Bantu penganggur berubah industri

Melalui Belanjawan 2021, kerajaan mengatakan akan menyediakan 500,000 pekerjaan melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja). Ketika berbahas di Parlimen, Anwar Ibrahim mengatakan angka ini adalah angka ‘semberono’ kerana tidak datang dengan penjelasan dari industri mana pekerjaan sebanyak itu akan dijana.

Dengan keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, saya pesimis dengan unjuran ‘terlalu optimis’ yang telah menjadi tema utama Belanjawan 2021. Saya tidak pasti bagaimana Majlis Pekerjaan Malaysia yang bakal ditubuhkan akan menyelesaikan kemelut pengangguran yang semakin menekan rakyat.

Apa yang pasti, kita sedang membazirkan banyak masa – satu perancangan yang benar-benar rapi perlu diumumkan dengan kadar segera. Pekerjaan bukanlah permainan teka-teki – rakyat harus tahu apa perancangan kerajaan untuk membantu mereka, supaya mereka boleh terlibat dalam ‘rancangan’ itu.

Kita harus membantu penganggur menukar kerjaya dalam jumlah yang ramai, dan tempoh yang singkat. Akibat daripada pandemik Covid-19, ada beberapa industri yang sukar untuk bernafas.

Contoh yang paling mudah dalam isu ini adalah industri pelancongan. Sekatan sempadan dan kawalan pergerakan telah menyebabkan kebanyakan pemain industri pelancongan terpaksa gulung tikar.

Disebabkan hal ini, kita akan memiliki ramai bekalan buruh yang ada kemahiran tinggi dalam industri pelancongan. Melalui Belanjawan 2021, Menteri Kewangan ada menyebut tentang RM50 juta diperuntukkan untuk program latihan dan penempatan semula kakitangan penerbangan sebelum ini.

Persoalan saya mudah – adakah mereka ingin dilatih dan ditempatkan semula dalam industri pelancongan yang dalam beberapa tahun ini akan mengalami ketidaktentuan?

Saya tidak fikir itu tindakan yang bijak. Melatih bekalan buruh yang sedang memerlukan pekerjaan segera dalam industri yang sedang merudum hanya akan membawa kekecewaan.

Apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah melatih bekalan buruh untuk bertukar industri dengan memberikan latihan dalam tempoh 6-12 bulan. Latihan ini tentu sahaja perlu datang dengan elaun atau gaji bagi menampung kehidupan.

Bukan semua kemahiran baharu memerlukan tempoh masa yang lama untuk dipelajari, ada yang hanya memerlukan masa beberapa bulan – lebih-lebih lagi dengan sumber pembelajaran yang ada di intenet.

Sebagai contoh anak kabin yang kehilangan kerja, mereka secara asasnya sudah memiliki kemahiran berkomunikasi dengan baik. Mereka boleh diberikan latihan dan ditempatkan semula di industri untuk berkhidmat di pusat panggilan.

Kita harus meneliti kemahiran khusus industri yang sedang merudum dan memadankan kemahiran-kemahiran ini dengan industri yang sedang berkembang seperti industri perubatan, farmasi, getah, penghantaran makanan dan lain-lain.

Menuju Revolusi Industri 4.0, pendigitalan akan berlaku dengan pesat, sama ada kita suka ataupun tidak. Ini adalah masa untuk kita menambah pekerja dalam industri pendigitalan – pakar pemasaran digital, jurutera perisian, saintis data, pengaturcara, pembina platform digital dan pekerjaan lain yang berkaitan dengannya.

Pada pemerhatian saya, jumlah syarikat lokal yang boleh dipercayai dalam industri pendigitalan masih terlalu sedikit. Disebabkan hal ini, kebanyakan syarikat besar di Malaysia menggunakan khidmat syarikat luar negara. Pendigitalan adalah sesuatu yang pasti akan berlaku – melabur kepada sesuatu yang pasti akan berlaku adalah satu keuntungan.

Bagi pekerja tidak mahir pula, ia juga masa yang sesuai untuk kita mencari jalan meningkatkan kemahiran mereka, atau memberi kemahiran-kemahiran baharu.

Peningkatan kemahiran para pekerja dalam semua kelas pekerjaan secara teorinya akan meningkatkan produktiviti dan merangsang ekonomi. Apabila hal ini berlaku, sepatutnya perniagaan akan mengaut keuntungan yang lebih, dan para pekerja sepatutnya akan dibayar dengan gaji yang lebih wajar.

Walaupun ia berbunyi utopia, meningkatkan atau menambah kemahiran pada para pekerja tidak pernah merugikan.

Proses yang saya cadangkan ini tidak semestinya perlu dibiayai oleh kerajaan, ia perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat swasta.

Peranaan kerajaan adalah memberi insentif kepada para syarikat yang berjaya meningkatkan atau menambah kemahiran pekerja untuk merangsang mereka.

Pengecualian cukai terhadap kos latihan yang diberikan kepada mereka yang sedang dalam proses penempatan semula adalah salah satu bentuk insentif yang perlu difikirkan oleh kerajaan.

Ekosistem seperti ini jauh lebih produktif berbanding memberikan kerja dalam tempoh yang terlalu singkat di perkhidmatan awam atau GLC.

Ia bukan sekadar akan mengurangkan bebanan kerajaan dalam menampung kos latihan pekerja, ia juga akan memberi kemahiran kekal kepada para pekerja yang menerima skim latihan.

*Rahman Imuda merupakan aktivis buruh.