Seorang bekas ketua pegawai eksekutif institut automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta, dua tahun lepas.
Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, didakwa secara rasuah menerima wang itu daripada seorang individu menerusi akaun bank sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan sebuah bank, di Seksyen 15, Shah Alam, pada 8 Julai 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How menawarkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili tertuduh bersetuju dengan tawaran pendakwaan.
Hakim Rozilah Salleh membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA
Baca juga: KDNK Selangor terus kukuh, meningkat menjelang 2025
Baca juga: Selangor, N. Sembilan bukan kerusi panas tapi belum capai kata sepakat