Malaysia Dateline

‘Bantu putuskan rantaian Covid-19’, titah Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menggesa agar individu yang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling, agar tampil menjalani saringan kesihatan Covid-19.

Dalam satu muatnaik status di Facebook rasmi Sultan Selangor semalam, baginda melahirkan kebimbangan sekiranya penularan wabak berkenaan terus berlarutan.

Menurut Baginda, ini akan menjadikan jumlah kes jangkitan terus meningkat yang kemungkinan akan menyebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dipanjangkan lagi.

“Baginda menggesa individu-individu yang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu, yang masih berdegil, agar tampil untuk menjalani saringan.

“Kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang akan hanya menyusahkan pelbagai pihak khususnya yang berada di barisan hadapan (frontliners),” titahnya.

Setakat semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan 13,000 saringan ke atas jemaah Tabligh.

Dari jumlah tersebut, sebanyak 8,000 kes didapati bergejala, di mana 986 kes adalag positif Covid-19.

Beliau turut berharap agar jemaah Tabligh tampil membuat ujian saringan kerana daripada 1,624 kes positif Covid-19, risiko adalah lebih tinggi dari kalangan mereka.

Pada masa sama, Selangor turut mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 yang menjadikan negeri itu tertinggi dengan jumlah kumulatif sebanyak 381 kes.

Dalam pada itu, Baginda melahirkan kekhuatirannya selepas masih ada rakyat yang degil dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan oleh Kerajaan Persekutuan yang telah masuk hari ke tujuh (semalam).

Justeru, Baginda terus menasihatkan agar rakyat patuh dan tidak melanggar perintah berkenaan demi memastikan rantaian wabak Covid-19 ini dapat dihentikan.

“Ini akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan-golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil

“Bagi mereka yang mempunyai simptom-simptom Covid-19 sila tampil melakukan pemeriksaan dan pengasingan (isolation),” titahnya lagi.