Malaysia Dateline

Bantu Zoo Negara dengan pakej ‘Adopt an Animal’

Mengambil kira situasi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini, kerajaan termasuk pelbagai agensi badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan berusaha keras membantu rakyat Malaysia terutama golongan yang terjejas.

Namun, di tengah krisis memerangi ancaman wabak ini, salah satu khazanah Malaysia, Zoo Negara pula dilaporkan semakin terjejas apabila semakin sukar menanggung pembiayaan kos operasi pengurusan yang tinggi.

Pendapatan utama Zoo Negara yang selama ini bergantung pada jualan tiket dan sumbangan orang ramai juga bolej dikatakan semakin kritikal semenjak perintah PKP yang melarang rakyat Malaysia mengunjungi tempat-tempat awam.

Sehingga kini, Zoo Negara terpaksa menggiatkan kempen ‘Adopt An Animal’ dan meminta bantuan disalurkan bagi mengurangkan beban tanggungan sekali gus menyelamatkan haiwan-haiwan yang ada daripada terus terbiar.

Menurut Timbalan Presidennya, Rosly Rahmat Ahmat Lana, Zoo Negara tidak mempunyai pilihan selain menguruskan kos operasi mereka menggunakan dana kecemasan oleh kerana tiada tiket yang terjual dan tiada organisasi yang tampil menyumbang.

“Ini adalah satu cabaran besar bagi kita untuk menampung kos operasi zoo semasa penutupan sementara ini kerana Zoo Negara bergantung pada jualan tiket, penyewaan kawasan, penajaan korporat dan sumbangan awam untuk jana pendapatan,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.

Walau bagaimanapun menurutnya, dana tersebut hanya bertahan untuk tiga bulan lagi.

“Bagi mereka yang ingin menderma, mereka boleh melakukannya dengan menyertai kempen ‘Adopt An Animal’ kami,” katanya.

Pada masa sama, Rosly berkata, ada beberapa pakej adopsi yang berpatutan untuk orang ramai yang memutuskan untuk memberi sumbangan.

Pakej tersebut bermula serendah RM50 hingga RM500 dan mereka yang berminat boleh memilih pakej tersedia atau boleh melakukan sumbangan dalam jumlah yang dingini.

Namun, orang ramai diingatkan untuk memastikan nama penerima adalah Zoo Negara sebelum menderma untuk mengelakkan sebarang penipuan.

Sementara itu, isu ini juga mendapat perhatian meluas daripada pengguna media sosial di mana ada daripada mereka yang membantu menyebarkan kesedaran dan meminta orang ramai untuk turut menderma demi kelangsungan operasi Zoo Negara.

Zoo Negara turut mengingatkan orang ramai untuk mengesahkan apa sahaja maklumat berkaitan pusat itu sebelum membuat apa-apa sumbangan atau transaksi.

Bagi mereka yang ingin membantu Zoo Negara semasa tempoh PKP ini, anda boleh menghubungi saluran ini untuk mendapatkan maklumat lanjut:

Website: https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html