Malaysia Dateline

Bantuan Awal Persekolahan bukti kerajaan PH peduli golongan berpendapatan rendah

Pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberikan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar tahun 1 hingga tingkatan 5 dikalangan isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah amat dialu-alukan.

Ia juga menyerlahkan lagi kesungguhan kerajaan PH serta peduli terhadap keperluan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, ketika ditemui semasa menyampaikan sumbangan pakaian kepada Ahli Jawatankuasa PKR Bagan.

Jelas beliau lagi, tindakan segera yang diambil oleh kerajaan dengan memberi Bantuan Awal Persekolahan tersebut melalui peruntukan khas sebanyak RM328 juta adalah suatu jumlah yang besar.

Namun begitu ujarnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan amanah kepada rakyat, kesukaran kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sepertimana yang dimaklumkan sebelum ini tidak menjadi halangan bagi terus membela nasib rakyat.

“Peruntukan khas tersebut adalah suatu jumlah yang besar bagi sebuah keluarga yang berpendapatan rendah dan amat memerlukan sokongan sedemikian.

“Sehubungan itu, inisiatif segera tersebut juga membuktikan kerajaan komited bagi menyediakan sokongan tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mana-mana waris pelajar.

“Keterbukaan ini turut memperlihatkan sebuah kerajaan yang boleh diteladani sebagai pemerintah untuk jangkamasa yang lebih lama jika dibezakan dengan kerajaan terdahulu, ” tegasnya lagi.

Guan Eng semalam mengumumkan bahawa bantuan pembayaran awal persekolahan tersebut akan diagihkan ke sekolah-sekolah mulai Januari tahun depan oleh Kementerian Pendidikan.

Sebelum ini bantuan sedemikian telah pun dipraktikkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dengan memberikan sumbangan RM100 bagi pelajar tahun 1 dan tahun 4 serta tingkatan 1 dan tingkatan 4.

“Dengan inisiatif yang diambil oleh kerajaan pusat kali ini, ia menjadi satu ikutan yang boleh juga dipraktikkan oleh negeri-negeri lain yang diterajui oleh PH.

“Kita bukan sahaja memberi pembelaan kepada warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan sebagainya.

“Tetapi juga memberi perhatian kepada pelajar sekolah rendah dan menengah sehingga melibatkan peruntukan yang amat besar, ” tambah beliau lagi.