Malaysia Dateline

Bantuan guaman: Apa kegilaan Umno MCA ini, tanya MP DAP

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mempersoalkan tindakan MCA dan Umno menawarkan bantuan guaman kepada individu dikenakan kompaun RM10,000 ekoran pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, MCA dan Umno berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang melaksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000.

“Apakah kegilaan ini? MCA dan Umno dalam Kerajaan Perikatan Nasional laksanakan darurat dan ordinan kompaun RM10,000 dan sekarang nak bagi bantuan guaman?

“Tangan kanan susahkan rakyat, tangan kiri nak bantu rakyat?” soalnya di Facebook hari ini. Beliau yang juga mantan timbalan menteri turut mempersoalkan kewajaran pengumuman pelbagai bantuan kebajikan apabila denda dikenakan 10 kali ganda.

“Apa guna umum pelbagai bantuan kebajikan – MyBeras di KL dan bagi beras sini sana serta top up bantuan kebajikan JKM kepada RM1,000 tapi denda 10 kali ganda?” soalnya.

Menurut beliau, Kerajaan PN tidak ada pengalaman mentadbir dengan baik sebaliknya ‘umum dulu, kompaun dulu kemudian baru nak perincikan kesalahan’.

“Mengelirukan pegawai penguatkuasa seperti polis dengan SOP mereka kemudian menambah pula beban pegawai kesihatan daerah untuk meneliti rayuan kompaun RM10,000,” katanya.

Hannah berharap rakyat membuka mata melihat ketidakcekapan dan kezaliman PN yang terdiri daripada parti Pas, Bersatu, MCA, Umno dan MIC.