Bantuan kebajikan bukan bermusim,kata AWAN Nasional

Bantuan kebajikan bukan bermusim,kata AWAN Nasional
Mariam Abdul Rashid

 

Bantuan kebajikan yang disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bukanlah yang bermusim terutamanya ketika pilihan raya diadakan.

Sebaliknya,sumbangan dan bantuan tetap dilaksanakan pada bila-bila masa tanpa mengira bangsa,agama dan kedudukan geografi kawasan.

Ahli Jawatankuasa Angkatan Wanita AMANAH Nasional,Mariam Abdul Rashid memberitahu,setiap sumbangan yang hendak disalurkan haruslah diiringi dengan niat yang baik kerana dapat membantu golongan yang memerlukan.

“Kita tak terfikir sekali pun apabila hendak memberi sumbangan bermakna datangnya musin pilihan raya.

“Kita datang dengan niat yang ikhlas untuk membantu penduduk dari kalangan yang kurang berkemampuan.

“Sebabnya,selagi kita mampu tolong,kita akan bantu dengan sebaik mungkin dalam apa juga bentuk sumbangan yang diberikan,” jelasnya.

MariaM Abd Rashid bersama sebahagian murid-murid yang menerima bantuan persekolahan awal di Kampung Tabuan Hilir di Kuching hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan dan Sumbangan Barangan Dapur kepada pelajar dan penduduk terpilih di Kampung Tabuan Hilir,Kuching di sini hari ini.

Pada majlis itu,seramai 30 pelajar menerima bantuan persekolahan awal dan 10 keluarga asnaf mendapat sumbangan berupa barangan dapur.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak,Hud Andri Zulkarnaen,Setiausaha AMANAH Sarawak,Fadillah Sabali dan Jawatakuasa Negeri Angkat AMANAH dari Selangor.

Seterusnya Mariam berharap agar sumbangan yang disampaikan itu sedikit sebanyak meringankan keluarga yang menerimanya.

“Alhamdulilah…walaupun pada awalnya tujuan kami datang ke Kuching hanya sekadar hendak melawat puan Ajibah di kampung ini,tetapi dalam masa sama kami juga ingin menyampaikan sumbangan ini,” jelas beliau.

Terdahulu,Hud Andri merakamkan terimaksih kepada rombongan AMANAH dari Selangor yang sudi melawat puan Ajibah yang telah kematian suami baru-baru ini.

Katanya,AMANAH Sarawak sentiasa menyokong dan memberi kerjasama erat kepada AMANAH Nasional dalam mana-mana aktiviti yang dilaksanakan di negeri ini.

“Kami di Sarawak amat mengalu-alukan rakan atau ahli parti dari AMANAH Semenanjung Malaysia atau rakan komponen lain dalam Pakatan Harapan menganjurkan program kebajikan di sini.

“Semoga dengan ikatan yang kukuh ini berterusan sekali gus merapatkan ahli-ahli dalam AMANAH sendiri,” tambah Hud Andri