Bantuan Keluarga Malaysia dipercepat sebelum PRU15

Oleh ARIF ATAN

Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa Empat dipercepatkan bermula 15 November iaitu empat hari sebelum hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, keputusan kerajaan mempercepatkan bayaran bantuan itu sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Beliau mengumumkan hal itu pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Batu Bor di Kuala Bera hari ini.

Menurutnya, pembayaran membabitkan peruntukan bernilai RM2.1 bilion akan memberi manfaat kepada 5.2 juta penerima pelbagai kategori.

Penyandangan Parlimen Bera itu berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Jelasnya, bayaran secara berperingkat yang dijangka selesai 18 November ini akan membantu penerima membuat persediaan menghadapi banjir.

“Keputusan mempercepatkan pembayaran BKM Fasa Empat daripada Disember kepada November adalah bagi membantu penerima untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada pertengahan bulan ini.

“Jika bayaran dikreditkan lewat dan sudah berlaku banjir, ia akan menyusahkan rakyat untuk mengeluarkan wang di bank,” lapor BH.

Tambahnya, secara keseluruhan, RM8 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi 2022.

Baca juga ‘Tolonglah letak jawatan! Bulan ni saja dah 6 kali gangguan LRT’

Baca juga “Kena pandai bezakan seni dengan content” – Warganet kecewa ada agensi beri peluang kepada Ratu Farah rosakkan industri muzik