Malaysia Dateline

Bantuan kepada mangsa kebakaran di Bangsar akan diberikan segera

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berjanji akan memberikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di kuarters KTM Bangsar dan Perumahan Awam Seri Pahang pagi ini.

Khalid yang bergegas ke tempat kejadian selepas kejadian itu berlaku berkata, beliau telah mengarahkan DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan agar memberikan bantuan segera.

Malaysia Dateline difahamkan, DBKL telah menyediakan rumah sementara untuk mangsa PA Seri Pahang yang rumahnya terbakar manakala Yayasan Wilayah Persekutuan akan memberikan bantuan kebajikan segera.

Dalam kebakaran jam 10.50 pagi tadi, dua blok kuarter kayu KTM Berhad (10 unit rumah) dan dua unit PA Seri Pahang di Bangsar juga terbakar.

Kesemua mangsa yang hilang kuarters KTM kini tinggal di surau kuarters buat sementara waktu.

Selain bangunan, 7 buah kereta dikatakan rosak atau musnah dalam kebakaran ini.