Malaysia Dateline

Bantuan Khas Aidilfitri: Kerajaan Perak perlu prihatin

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa Kerajaan Negeri Perak menilai kembali pemberian Bantuan Khas Aidilfitri yang hanya diberikan kepada penjawat awan.

Sedangkan, bantuan itu tidak diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih, Pekerja Sambilan Harian, Guru Tadika Islam Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Imam dan juga Bilal Masjid seluruh Negeri Perak walaupun sudah lebih seminggu Hari Raya Aidilfitri berlalu.

Menurut Naib Pengerusi AMANAH Perak Dr Muhaimin Sulam beliau menyuarakan ketidakperihatinan kerajaan terhadap mereka yang dilihat terpinggir dan tidak dibela oleh mana-mana pihak.

“Dan menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri Perak memberikan bantuan kewangan ini dengan segera serta pihak-pihak yang berkaitan sewajarnya mengangkat perkara ini lebih awal lagi sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Katanya, imam dan bilal masjid juga telah menjalankan tugas mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Masjid berfungsi seperti biasa dengan syarat tiga orang sahaja dibenarkan melakukan Solat Jamaah setiap waktu dan setelah dibenarkan pula menunaikan Solat Jumaat secara terhad sebelum ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Perak pada 20 Mei 2020 yang lalu semasa membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak fasa dua hanya mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri ini kepada Penjawat Awam Negeri Perak sedangkan Guru Sandaran Tidak Terlatih, Pekerja Sambilan Harian, Guru Tadika Islam Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Imam dan Bilal Masjid juga terkesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.