Malaysia Dateline

Bantuan Khas Aidilfitri RM1000 untuk penjawat awam negeri Kedah

Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1000 bagi penjawat awam negeri sempena sambutan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika Majlis Perhimpunan Pagi dan program Ihya Ramadan bersama kakitangan awam negeri Kedah yang diadakan di Wisma Darul Aman semalam.

Jelas Mukhriz lagi, kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan sebanyak RM1000 sempena Aidilftri kepada 4711 penjawat awam negeri serta 316 pegawai lantikan kontrak dan sementara.

“Jumlah bantuan khas Aidilfitri tahun ini meningkat dari RM400 pada tahun sebelumnya kepada RM1000 pada kali ini.

“Ini adalah ekoran peningkatan pendapatan negeri dalam suku pertama berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Selain itu, banyak penjimatan telah pun dilakukan dalam urus tadbir kerajaan negeri melalui hasil perbelanjaan berhemah, ” ujarnya lagi.

Malah tegas beliau, ia akan dibayar kepada semua yang terlibat pada 30 Mei bagi membolehkan penjawat awam membuat persiapan menjelang Aidilfitri pada bulan hadapan.

Sebelum ini kerajaan negeri Pulau Pinang, Perak dan juga Melaka telah pun mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan yang sama kepada penjawat awam negeri tersebut menjelang sambutan Aidilfitri yang akan datang.