Malaysia Dateline

Bantuan Khas kepada hampir 1.5juta penjawat awam bukti kepedulian kerajaan

Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan menyediakan Bantuan khas Sambutan Aidil Fitri sebanyak RM450 kepada hampir 1.5 juta penjawat awam dari gred 56 dan kebawah serta RM225 kepada 800,000 pesara kerajaan, melibatkan anggaran peruntukan kewangan sebanyak RM855juta adalah suatu kepedulian kerajaan yang harus diberi sokongan., kata Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata apa yang lebih penting ia menunjukkan proses pemulihan ekonomi negara berada pada landasan yang tepat dan mula menampakkan hasil yang baik.

“Kemampuan kerajaan membayar bonus adalah hasil daripada proses kerajaan menangani rasuah dan ketirisan dalam perkhidmatan awam.

“Kesungguhan kerajaan menangani rasuah dan ketirisan jelas memberi impak positif dan meyakinkan para pelabur.

“Selain itu Tabung Haji contohnya, dalam suku pertama selepas proses penstrukturan semula pelaburannya kini mencapai keuntungan bersih sehingga mencecah RM448 juta, ” ujar beliau lagi.

Tegas Dr Zaidi lagi, faktor ini jelas menjadi teras utama kerajaan dalam usaha untuk membina semula negara setelah berjaya menerajui kepimpinan sejak setahun yang lalu.

Sebelum ini beberapa buah kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Melaka turut mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan menjelang Aidilfitri kepada penjawat awam negeri masing-masing dengan bayaran antara RM1000 sehingga setengah bulan gaji.