Malaysia Dateline

Bantuan khas nelayan diberi setiap tahun, kata MB Johor

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, pemberian bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 yang diumumkan semalam, tidak sepatutnya dijadikan isu.

Menurut Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai itu, sumbangan khas tersebut diberi oleh pihak kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.

“Yang beri itu ialah kerajaan (negeri). Saya rasa tiada masalah. Ini adalah elaun yang sebelum ini pernah diberi.

“Sebelum ini, setiap tahun, bantuan khas ini diberi, pada pandangan saya tiada isu,” jawabnya kepada pemberita ketika pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian, hari ini.

Terdahulu, beliau ditanya sama ada pemberian bantuan khas tersebut menyalahi undang-undang semasa tempoh kempen PRK Tanjung Piai.

Sahruddin menjelaskan bantuan khas itu akan diberikan secara berperingkat mengikut kawasan, dan bukannya secara ansuran mulai minggu depan.

“Kita baru sahaja lulus pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam. (Bantuan khas) ini hanyalah kepada nelayan yang terlibat di Johor selatan sahaja,” ujarnya menjawab soalan tentang mengapa pengumuman mengenai bantuan khas itu dibuat dalam tempoh PRK.

Semalam, Sahruddin memberitahu seramai 1,513 nelayan bakal menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000, melibatkan anggaran lebih RM1.5 juta pada sidang media di Iskandar Puteri.

Seramai 432 nelayan terlibat di Gelang Patah dan Pulai manakala 537 nelayan di Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau serta 544 nelayan di Pontian, termasuk Tanjung Piai.

Dalam hal berkaitan, Sahruddin menafikan dakwaan kononnya beliau “bengang dan marah” dengan jentera Barisan Nasional (BN) ketika bertembung ketika berkempen bersama calon PH, Karmaine Sardini di sebuah pasar dekat Parit Haji Adnan, petang semalam.

“Saya tidak bengang, marah. Saya cuma minta izin untuk bercakap, saya tiada apa-apa isu. Saya juga bersalaman (dengan mereka).

“Saya rasa mereka yang (terasa). Saya relaks sahaja, hendaklah kita selidik dulu dan berfikiran positif,” katanya.

Semalam, Sahruddin dikatakan “bengang” dengan tindakan segelintir jentera BN dan cuba mengambil mikrofon yang ketika itu dipegang oleh Exco Pemuda Umno Farhan Khairuddin.