Malaysia Dateline

Bantuan lampin pakai buang dewasa bantu ringankan beban rakyat

Bagi keluarga berpendapatan rendah dan pada masa sama menanggung ibu bapa uzur, bantuan lampin pakai buang dewasa sekurang-kurangnya membantu ringankan beban mereka.

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berpendapat ramai rakyat khususnya di negeri itu yang memerlukan lampin pakai buang dewasa seperti banyak dimohon di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

Ikuti perkongsian Adly yang juga ADUN Bukit Katil mengenai usaha ihsan untuk insan ini:

Saya terjumpa keratan akhbar tahun 2019 ini dan terus saya teringat kepada satu kisah rakyat.

Ada satu pasangan suami isteri ini saya jumpa ketika membuat program Ziarah Kasih.

Pasangan ni mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan. Si suami bekerja kilang dan isterinya mengambil upah menjaga anak-anak jiran.

Sudah 4 bulan mereka menjaga ibu mereka yang terlantar akibat strok.

Pasangan ini ada 3 orang anak yang sedang bersekolah. Tinggal di rumah sewa dan mempunyai sebuah kereta untuk memudahkan pergerakan mereka seisi keluarga.

Bantuan lampin pakai buang dewasa bantu ringankan beban rakyat

Oleh sebab perlu menjaga si ibu yang sedang sakit, si isteri terpaksa menolak sementara upah menjaga anak-anak jiran dan hilanglah pendapatan si isteri.

Masa itu saya terfikir:

Sewa Rumah & Utiliti – RM600
Ansuran Kereta & Petrol – RM700
Belanja Sekolah – RM600
Keperluan Dapur – RM1000
Bagi Mak – RM100
Jumlah = RM3,000

Pendapatan mereka sebelum ini RM3,000 cukuplah untuk menampung kehidupan mereka tetapi apabila isteri sudah tidak boleh menjaga anak jiran, pendapatan mereka berkurang.

Ibu pula perlukan pampers dewasa dan perlu berulang alik membuat fisioterapi. Kadang-kadang suami terpaksa ambil cuti untuk hantar ibu membuat rawatan. Keadaan ini menambahkan kos pada mereka.

Saya fikir ramai lagi rakyat Melaka yang seperti mereka dan pampers dewasa antara permintaan yang tinggi dipohon di Japerun pada ketika itu.

Oleh sebab itulah pentadbiran saya telah menyediakan peruntukan khas untuk membantu golongan yang terjejas seperti pasangan yang saya ceritakan ini.

Setiap bulan mereka akan menerima 3 pek lampin dan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban rakyat.

Baca juga: