Malaysia Dateline

Bantuan RM1,000 kerajaan negeri Johor kepada nelayan bukan ‘gula-gula’ PRK

 

Bantuan berjumlah RM1,000 yang diberikan kepada nelayan di kawasan Johor Selatan bukan ‘gula-gula’ sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 16 November ini.

Sebaliknya, Ketua Armada Bersatu Iskandar Puteri, Mohd Fahim Mohd Farid menegaskan, bantuan berkenaan sebenarnya telah dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Johor pada sesi Belanjawan Johor 2019.

Beliau menjelaskan, bantuan tersebut bukan sahaja untuk kawasan Tanjung Piai, malah ia melibatkan kawasan keseluruhan Johor Selatan seperti Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Pasir Gudang, Tebrau dan juga Pontian.

“Insentif itu telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Johor pada Belanjawan Johor 2019 dan bukan perkara baru sebagai gula-gula kepada rakyat Tanjung Piai kerana ada PRK di sana.

“Ia termasuklah RM500,000 Program Penghakupayaan Komuniti Nelayan seperti latihan dan bantuan peralatan.

“Bantuan tersebut akan bermula dibayar secara berfasa mulai minggu hadapan. Insentif ini mengambil sedikit masa kerana kerajaan negeri perlu memastikan senarai penerima bantuan ini dikemaskini, supaya tiada ketirisan, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sehubung itu, Mohd Fahim yang juga merupakan Exco Armada Bersatu mengingatkan supaya jangan mempolitikkan tanggungjawab Menteri Besar Johor.

“Bantuan ini tiada isu dan ia adalah tanggungjawab beliau sebagai Ketua Kerajaan Johor untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya lagi.

Memetik laporan BH Online, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan bantuan khas kepada nelayan di Tanjung Piai adalah bagi memenuhi janji Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik yang menyandang kerusi Parlimen itu, kepada penduduk kawasannya.

Salahuddin menegaskan sebagai memenuhi tanggungjawab, kerajaan Pakatan Harapan melunaskan janji berkenaan untuk memberi bantuan kepada golongan yang berhak.

“Sebagai menteri, apa yang dijanjikan Dr Farid kepada nelayan, maka kita akan bagi. Kita tidak boleh tunggu orang lain untuk berbuat demikian.

“Kita berikan kepada yang berhak kerana kita kerajaan yang bertanggungjawab. Contohnya, jika ada jeti yang sudah dalam keadaan uzur, kita tidak mahu tunggu sehingga runtuh baru nak bagi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (QMT) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad mempersoalkan kewajaran bantuan RM1,000 oleh kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang disifatkan melanggar etika pilihan raya.