Malaysia Dateline

A Kadir Jasin

Bantuan saja tidak lestarikan ekonomi

1. Khairy Jamaluddin bertindak sebagai jurucakap kerajaan apabila dia mengumumkan yang Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, akan umumkan satu lagi skim bantuan untuk orang ramai.

2. Tak apalah sebab Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun dah lama jadi macam kereta api rosak brek, tanpa pemandu atau pemandu tidur. Orang putih kata, runaway train. Sepatutnya Khairy tumpu kepada usaha mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dengan secukupnya dan rancakkan kempen vaksinasi. Dulu saya menaruh harapan yang boleh kata tinggi juga kepada dia. Tapi sejak dia jadi menteri vaksin Kerajaan PN ini saya mula curiga.

3. Memang tanggungjawab pokok mana-mana kerajaan pun membantu rakyat ketika kesusahan. Tidak ada sedikit keistimewaan pun dalam menolong orang susah. Kalau tak tolong memang kerajaan itu gagal, tidak bertanggungjawab dan tak guna.

4. Tapi cara bantu itu pun kena betul. Bantuan dalam bentuk kebajikan macam bagi makan orang susah adalah wajib. Tapi bantu mereka supaya boleh bangkit dan berdiri atas kaki sendiri lebih baik.

5. Macam mana sekali pun kita simpati dengan orang susah dalam suasana Covid-19 ini, kita kena ingat yang kita tidak mampu dan tidak boleh bantu selama-lamanya. Orang yang dibantu itu wajib berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri.

6. Saya ingat lagi masa krisis ekonomi tahun 1980-an apabila Dr Mahathir Mohamad melantik Daim Zainuddin jadi Menteri Kewangan. Antara cara yang digunakan untuk bantu rakyat jelata adalah dengan mengerah mereka bekerja beramai-beramai dan diberikan upah. Di kampung saya di Kedah, orang ramai dikerah membersihkan sungai, parit dan tali air untuk dapat elaun.

7. Sekarang pun kalau mahu boleh. Di kampung boleh diupah bersih sungai, parit dan tali air. Di bandar boleh tolong bersihkan plastik yang dibuang di merata tempat, bersihkan kawasan perumahan awam macam PPRT dan cat sekolah. Jadi tidaklah dapat bantuan percuma macam pengemis. Ada lah maruah dan harga diri serta produktivi ekonomi.

8. Memang betul banyak orang yang ekonominya telah jatuh merudum sehingga nak makan pun tak ada duit sampai ada yang bunuh diri dan mencuri. Kita wajib tolong mereka. Tapi yang lebih penting adalah membina semula ekonomi secara menyeluruh, bermula dengan memberi vaksin kepada semua pekerja, termasuk pekerja asing, dan membuka semula ekonomi seluas-luasnya.

9. Ada ahli ekonomi kata, kerajaan boleh berhutang lebih banyak untuk bantu rakyat miskin. Betul. Tapi daripada siapa kerajaan berhutang? Daripada rakyat jelata juga iaitu mereka yang menyimpan dengan KWSP dan yang melabur dengan ASB (PNB), Tabung Haji dan sebagainya. Kemudian siapa yang akan bayar balik hutang kerajaan itu? Rakyat jelata juga melalui cukai dan segala macam kutipan oleh kerajaan.

10. Covid-19 dan segala jenis penyakit akan terus menjangkiti sebahagian manusia daripada semasa ke semasa. Sebahagian kecil akan mati. Tetapi setiap manusia, pada setiap masa memerlukan makan dan pakai. Kalau mereka tidak diberikan peluang mencari makan, mereka pun akan mati juga akibat kebuluran. PKP, lockdown, kompaun dan segala mak nenek ini adalah sementara. Itu kita kena faham. Akhirnya kita kena balik mencari makan.

Sekian. Terima kasih.