Bantu yang susah di bandar jadi agenda utama tahun 2020 Khalid Samad
Khalid berkata, program membantu Orang Susah di Wilayah Persekutuan akan mewarnai program di Kementerian Wilayah Persekutuan untuk tahun 2020 ini.

Bantu yang susah di bandar jadi agenda utama tahun 2020 Khalid Samad

Bantuan Untuk Yang Susah di bandaraya bakal menjadi program utama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bermula tahun 2020 ini, kata menterinya Khalid Abdul Samad.

Ketika membentangkan Halatuju KWP 2020 di pejabatnya hari ini, Khalid yang ditemani Ketua Setiausaha Kementerian berkata, agenda membasmi miskin bandar akan mendominasi program KWP sepanjang tahun ini.

“Program mengendalikan miskin bandar atau orang susah di bandaraya akan menjadi fokus utama KWP tahun 2020 ini,” kata Khalid dalam sidang media sempena sambutan Hari Wilayah 2020 di pejabatnya itu.

Menurutnya, pada hujung 2019 lalu, Seminar Membasmi Kemiskinan Bandar telah dianjurkan kementeriannya dengan kerjasama badan bukan kerajaan.

Khalid bersama KSU Kementerian Datuk Hajjah Rosidah dalam sidang media khas hari ini.

“Pelan Induk atau Blueprint tindakan akan dihasilkan antara Jun hingga September 2020 dan perlaksanaan blueprint berkenaan akan mewarnai pendekatan dan program KWP selepasnya,” kata Khalid.

Dalam seminar satu hari pada 5 Disember lepas, 16 kertas kerja telah dibentangkan oleh pelbagai pihak dari pegawai kerajaan, pemimpin NGO, para ahli akademik dan pemimpin masyarakat.

Mereka membentangkan pelbagai cadangan berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka dalam mengendalikan isu kemiskinan bandar.

Dalam sidang media hari ini, Khalid turut memaklumkan, selain kemiskinan bandar, menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan pintar atau smart city menjadi agenda KWP juga.

Beliau juga berkata, KWP juga mahu menjadi tahun 2020 ini sebagai tahun dimana konsep Negara Taman diperkasakan di mana seluruh negara khasnya ibu kota akan dibina taman-taman yang indah untuk menjadi kawasan reakreasi penduduknya.

“KWP juga akan berusaha untuk melaksanakan konsep ini melalui Majlis Negara Taman yang dipengerusikan oleh saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan,” kata Khalid yang dilantik oleh Kabinet menjadi Pengerusi Majlis Negara Taman.