Banyak ‘blok’ akan kelirukan rakyat

Banyak ‘blok’ akan kelirukan rakyat

Semua parti pembangkang harus berada dalam satu gabungan supaya ia tidak mengelirukan rakyat untuk membuat pilihan.

Sekiranya terdapat beberapa gabungan yang berbeza dengan pelbagai blok dan jenama serta logo ia akan memberi kecelaruan kepada pengundi.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas hadir program sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR Parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Pas yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan sebaliknya mewujudkan blok ketiga. 

Ujarnya lagi, rakyat akan bertambah keliru untuk membuat pilihan walaupun pembangkang berkali-kali melaung-laungkan untuk menumbangkan Umno dan BN.

“Kita sedar Umno dan BN sudah tidak lagi relevan untuk menerajui pemerintahan kerajaan negeri mahupun pusat.

“Rakyat juga tahu kepimpinan kerajaan Najib kini terlalu banyak ketirisan, skandal, salah laku dan urus tadbir yang lemah sehingga menjadikan rakyat sebagai korban.

“Terlalu banyak beban kepada rakyat seperti kos sara hidup yang tinggi serta nilai mata wang yang merudum belum dapat diselesaikan walaupun Najib berjanji beban rakyat akan dapat diatasi menjelang 2017, jelasnya lagi.

Beliau juga berkata, cukai GST yang yang mungkin akan meningkat lagi selepas BN menang, mampu memporak-perandakan keluarga miskin lagi melarat.

“Isu sebegini mesti diperjuangkan oleh gabungan pakatan pembangkang sekiranya benar-benar ingin membela nasib rakyat.

“Pembangkang tidak boleh mesra Umno mahupun BN atau bersekongkol dengan mereka yang telah terbukti dengan ketara menzalimi rakyat melalui pelbagai polisi dan dasar.

“Sekiranya mereka hanya mendabik dada mengatakan memperjuangkan nasib rakyat yang ditindas, tetapi sebaliknya memperagakan nasib rakyat untuk mengakayakan tembolok masing-masing, ini bukan perjuangan sebenar,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Pas dan Bersatu mesti berada bersama dengan Pakatan Harapan supaya perjuangan mereka jelas kepada rakyat.

“Tidak perlu ada blok yang pertama atau kedua maupun ketiga sekiranya ikhlas untuk memastikan Umno dan BN kecundang.

“Semua gabungan pembangkang mesti berada dibawah satu bumbung, satu logo dan satu payung menjelang pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

“Ketepikan ego masing-masing dan laksana strategi untuk memastikan Najib dan BN dapat ditewaskan, tetapi harus berada dalam satu gabungan, bukan blok kedua ataupun ketiga dan sebagainya, ” tambahnya.

Oleh kerana itu katanya, rakyat akan mudah untuk membuat pilihan samada untuk memilih Pakatan Harapan atau pun menolak Umno dan BN tanpa ada lain-lain blok yang akan mencelarukan pengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang.

TAGS