Banyak janji manifesto PRU14 telah ditunaikan kerajaan Pulau Pinang

Banyak janji manifesto PRU14 telah ditunaikan kerajaan Pulau Pinang

Banyak janji manifesto pilihan raya umum ke 14 telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Malah kata beliau lagi, antara janji yang telah direalisasikan ialah mengehadkan tempoh bagi jawatan Ketua Menteri selama dua penggal sahaja.

Selain itu jelasnya, memperuntukan sebanyak RM15 juta bagi perkhidmatan bas percuma serta melantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah sebahagian dari janji yang telah pun dilaksanakan.

“Peruntukan sebanyak RM150 juta untuk melaksanakan projek rancangan tebatan banjir juga merupakan salah satu janji dalam manifesto yang turut dijalankan.

“Manakala 20 lagi janji yang sedang direalisasikan ialah pakej 2 pembinaan projek lebuhraya Air Itam ke lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

“Selain itu memasang sebanyak 20,000 tiang lampu LED juga sedang dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, dua lagi program yang bertindih dengan program kerajaan persekutuan seperti MySalam dan Peka 40 ditangguhkan.

Program yang ditangguhkan tersebut katanya, ialah Program Penang Sihat, bantuan kos sara hidup sejumlah RM1,000 kepada wanita dan ibu daripada keluarga yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan.

Tambah Chow lagi, bagi tahun hadapan kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan bagi pembangunan yang berjumlah RM269.34 juta jika dibandingkan dengan tahun 2019 sebanyak RM306.38 juta.

Pengurangan ini katanya, tidak akan membabitkan pengurangan atau pengabaian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.