Malaysia Dateline

‘Banyak kali dapat surat pegawai kanan SUK tapi diabai saja’ – Guna kuasa yang ada bantu marhaen dari tekanan penguasa

Isu membabitkan Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh sehingga nyaris dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat mengingatkan seorang bekas pegawai kerajaan yang pernah beberapa kali mendapat surat pegawai kanan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri berhubung satu kes membabitkan seorang pemandu.

Namun, pendiriannya jelas. Beliau menggunakan kuasa yang ada untuk membantu golongan marhaen daripada ditindas kaum bourgeois. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh mantan ‘orang kerajaan’ tak kata.

Paling penting, nasihatnya kepada pegawai kerajaan yang menjalankan tugas perlu ada nilai ihsan agar keputusan dan tindakan yang diambil adil.

Ikuti perkongsian IR ZAINUDDIN OMAR ini yang molek diteladani oleh semua pihak:

Kes disiplin Cikgu Mohd Fadli Salleh mengingatkan saya kepada satu peristiwa 30 tahun dahulu.

Semasa memegang jawatan sebagai ketua jabatan di satu daerah pada tahun 1980-an, saya menerima sepucuk surat dari SUK (pejabat setiausaha kerajaan negeri).

Dari surat tersebut, ianya mengarahkan saya mengambil tindakan disiplin terhadap seorang pemandu di jabatan, sama ada turun pangkat atau buang kerja.

Gamaknya pemandu pejabat yang bernama Ahmad (bukan nama sebenar) telah membawa kenderaan Pajero pejabat dan melanggar belakang kereta Volvo 240 GL seorang kenamaan di lampu isyarat.

Dari siasatan saya, kenamaan tersebut mempunyai sahabat seorang pegawai kanan di SUK dan kerajaan negeri telah membayar kos untuk membaiki kereta beliau, yang sepatutnya dihantar ke bengjel JKR terlebih dahulu untuk penilaian.

Sekarang, pegawai kanan SUK dan orang kenamaan tersebut mahu saya mengambil tindakan disiplin yang berat terhadap pemandu pejabat saya.

Saya telah memanggil Ahmad untuk mendengar penjelasan beliau dan diberitahu pada hari kejadian hujan lebat dan pemandu Volvo 240 telah membuat brek kecemasan di lampu isyarat.

Ahmad yang memandu Pajero jabatan sempat brek tetapi jalan licin telah menyebabkan Pajero tergelincir dan melanggar Volvo.

Ahmad seorang pemandu baru dengan gaji tidak sampai RM500 dan mempunyai empat orang anak kecil. Isteri beliau tidak bekerja dan mereka tinggal di kuarters kerajaan.

Jikalau mengikut undang-undang JPJ, memang kenderaan belakang perlu 10 meter dari kenderaan hadapan. Secara logik, tiada pemandu yang mengikut prosedur sedemikian.

Kesalahan memang di pihak Ahmad dan jikalau tindakan disiplin seperti turun pangkat atau buang kerja, ianya adalah satu penganiayaan pada Ahmad pada hemat saya, kerana beliau seorang pekerja yang baik dan dedikasi.

Pajero jabatan pula tidak mengalami apa-apa kerosakan teruk kecuali sedikit dented pada absorber depan.

Saya sebagai ketua jabatan dan pengerusi lembaga disiplin jabatan telah bersidang dan mengambil keputusan untuk memberi surat amaran tanpa rekod dalam buku perkhidmatan kepada Ahmad dan bukan turun pangkat atau buang kerja.

Selepas itu saya menerima beberapa kali surat dari pegawai kanan SUK itu agar mengambil tindakan disiplin yang lebih berat terhadap Ahmad tetapi saya abaikan sahaja.

Akhirnya, tiada lagi surat dari SUK, berkemungkinan pegawainya sudah bertukar.

Moral of the story.

Gunalah apa kuasa yang ada untuk membantu golongan marhaen dari tekanan kaum bourgeois.

Jangan lupa nilai ihsan ketika menjalankan tugas.

“Sometimes being kind is more important than being right”. ‘Sing apikan iku luwih penting tinimbang sing bener’ kata orang Parit Jawa. Wallahua’llam.

Baca juga ‘Benda simple tapi boleh melupuskan manusia tak berakal’

Baca juga Sebak baca komen saudara terdekat, rupanya kakak adik sangat rapat