Banyak kali rider kena tipu bila ambil ‘order cash’, tapi kisah pelanggan ini berkeras guna tunai buat ramai buka mata

Oleh KIM SYAZIE

Para penghantar makanan sudah banyak kali meluahkan isu meruncing tentang kaedah pembayaran secara tunai yang boleh dibuat oleh pelanggan. Rider mendakwa mereka telah banyak kali ditipu apabila pelanggan memilih untuk membuat pembayaran secara tunai.

Kadangkala jumlah kerugian dialami rider bukanlah besar mana, tetapi ia melibatkan masa yang terpaksa dihabiskan untuk ke lokasi yang tidak wujud dan kemudian mengambil masa membuat aduan kepada ‘Centre’ mereka.

Kerana itu kita boleh lihat ramai rider cuba mengelak daripada mengambil pesanan dari pelanggan yang menggunakan kaedah pembayaran sedemikian.

Seperti perkongsian seorang pemuda bernama Mat Riza, dia juga memberitahu pernah mendapat pesanan dalam bentuk tunai. Pada awalnya dia merasa ragu-ragu bimbang ditipu, namun nekad mengambil juga pesanan tersebut.

Setibanya di rumah pelanggan, dia pula merasa terkejut dan jatuh simpati apabila mendapati pelanggannya itu merupakan suami isteri yang baru sahaja ditimpa kemalangan dan tidak dapat berjalan dengan baik.

“Siang tadi ada order GM, beli barangan dari Lotus. Cash RM88, siap beli beras 5kilogram. Hati mula rasa tak sedap tapi aku ambil juga lah order tu.

“Sampai dekat rumah customer tu, rasa simpati pula sebab suami patah dua-dua kaki, isteri pula patah tangan kanan. Kemalangan motor. Anak-anak pun kecil-kecil lagi. Siap bagi tips RM2,” tulisnya dalam satu tangkap layar yang dikongsikan pengguna Facebook, Muhd Haikal.

Dalam tangkap layar tersebut, pasangan suami isteri itu ada memberitahu sudah banyak kali pesanan melalui GrabFood yang dibuat mereka, tiada rider yang mahu ambil.

Mereka juga menceritakan mengapa tidak menggunakan pembayaran secara atas talian kerana sudah banyak kali rider hanya meletakkan pesanan mereka di meja pengawal kerana tidak mahu naik sampai ke tingkat 4.

“Dia kata aku rider ketiga. Dua lagi rider cancel order. Aku terangkan kat dia, kalau tak nak rider cancel, lebih baik pakai GrabPay, jangan pakai cash.

Customer pula kata, dah beberapa kali sebelum ni bila dia pakai GrabPay, rider letak dekat meja guard di bawah sebab dia orang tak nak naik tangga sampai tingkat 4. (Rumah tingkat 5 sahaja, tak ada lif). Sebab tu dia terpaksa pakai cash,” tulis Mat Riza.

Perkongsian tersebut benar-benar membuka mata ramai dengan antaranya beranggapan bahawa para penghantar makanan sepatutnya menghantar makanan sehingga ke depan pintu kerana itulah cabaran pekerjaan sebagai rider yang mereka sendiri perlu hadapi.

Apa kata anda?

Baca juga: Buat ‘loan’ 3 tahun untuk beli Iphone 13, pemuda rasa terbeban lepas dua bulan bayar

Baca juga: Pelancaran kapal LCS belum siap kerajaan tipu Sultan Perak, Raja Permaisuri dan rakyat