Malaysia Dateline

Banyak kesalahan, kelemahan orang Melayu dan Bumiputera, kata Mahathir

Kaum Melayu dan Bumiputera tidak boleh menafikan mereka ketinggalan berbanding kaum lain di negara ini, kata Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kaum Melayu dan Bumiputera perlu merenung kembali pengamalan cara hidup yang selama ini diamalkan.

“Di negara ini Melayu dan Bumiputera ketinggalan kita tidak boleh nafi hakikat itu. Di negara kita sanggup berkongsi negara dengan kaum lain untuk mereka bermastautin di negara kita.Yang anehnya kita sekarang ini tidak setaraf dengan mereka ketinggalan dalam macam-macam bidang khususnya ekonomi.

“Kenapakah mereka berjaya dan kita tidak berjaya. Kita boleh salahkan orang lain kerana menghalang,menipu kita dan sebagainya tetapi orang lain tidak akan betulkan diri mereka, supaya mereka boleh berjaya. Yang boleh menjayakan diri kita ialah kita sendiri. Untuk itu kita perlu tahu apakah kesalahan dan kelemahan yang ada kepada kita,” ujarnya.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata demikian ketika hadir meninjau perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2 yang telah berlansung dua hari, di Pusat Konvensyen Antarabangsaa (PICC) Putrajaya hari ini.

Beliau kemudiannya dijemput memberikan ucapan khas oleh Armada Bersatu hari ini sebelum pada sebelah malam nanti, Dr Mahathir akan membuat ucapan sempena perhimpunan diadakan yang telah berlansung dua hari dan akan berakhir esok.

Kata Dr Mahathir lagi banyak kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah terdahulu yang berkuasa menerajui negara dan diterajui oleh orang Melayu.

“Sebenarnya banyak kesalahan yang ada pada kita. Bagaimana sebuah parti bumiputera Melayu yang ditubuh 60 tahun dulu sekarang sudah tidak ada kerana mengamalkan sifat yang mengadaikan segala usaha.

“Mereka tidak berusaha menjayakan negara dan orang Melayu setaraf kaum lain sebaliknya mereka berpendapat peluang yang diberikan kepada mereka hanya untuk perkayakan diri sendiri.

“Hari ini rakyat tolak mereka bulat-bulat. Kita juga daripada jenis sama. Kalau kita terperangkap dengan sikap yang ada pada mereka kita juga akhirnya akan tersungkur dan tersingkir,” ujarnya.

Persidangan Armada dan SrikandiĀ  hari ini dianggarkan 1600 perwakilan seluruh negara telah bersidang dari awal pagi ini.