Malaysia Dateline

Banyak lagi NGO, kenapa Menteri Agama perlu libatkan parti politik juga?

Tindakan Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang secara terang-terangan melibatkan parti politik secara langsung dalam urusan kerajaan, dikesali sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Ia susulan tindakan beliau yang secara terbuka membenarkan penglibatan Pemuda Pas dalam kerajaan bagi menjalankan gerak kerja dakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, bekas Mufti itu seharusnya mengambil kira organisasi lain yang tidak bersifat kepartian, bagi memberi peluang kepada mereka untuk terlibat dengan gerak kerja dakwah tersebut.

Malah menurutnya, jika Pemuda Pas diberi ruang, sepatutnya tiada masalah untuk beliau turut membenarkan Pemuda AMANAH, PKR atau DAP yang Muslim terlibat dalam gerak kerja dakwah di bawah JPM.

“Bagaimana urusan hal ehwal kerajaan boleh diserahkan kepada parti politik secara terang-terangan? ia jelas melanggar etika moraliti pentadbiran sebuah kerajaan.

“Jika Pemuda Pas boleh diberi peluang atas alasan mempunyai ahli profesional dan pakar dalam bidang tertentu, alasan yang sama juga boleh digunakan dengan memberi peluang kepada parti-parti politik yang lain juga.

“Berapa ramai anak muda yang mempunyai kemahiran profesional dalam bidang dakwah dan agama di dalam parti-parti politik yang lain seperti AMANAH, PKR bahkan DAP juga perlu diberi peluang sama,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu menerusi muatnaik di Facebook, Dr Zulkifli berkata beliau telah memaklumkan kepada Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin untuk menyenaraikan nama 30 anak muda daripada sayap parti tersebut.

Menurut Dr Zulkifli, mereka terbabit perlu mempunyai ilmu dan kemahiran yang baik untuk membantunya menyusun semula Tafsir Haraki Abdul Hadi berdasarkan kuliah-kuliah bagi manfaat umat Islam.

Pada masa sama, Sofi yang juga Adun Durian Tunggal itu berkata, ramai yang sedar bahawa pimpinan Pas secara terbuka menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri (Najib Razak) yang telah disabitkan kesalahan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Justeru soalnya, bagaimana sayap sebuah parti yang menyokong individu tidak bermoral, boleh diharapkan untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah di lapangan.

“Seruan saya kepada Menteri Hal Ehwal Agama ini, jika benar profesional maka bersikaplah dengan sebenar-benar etika profesionalisme yang sebenar.

“Kerja-kerja dakwah ini merupakan tugas mulia yang sudah pasti beliau lebih arif jadi biarlah badan atau individu yang lebih kompeten untuk melaksanakan tugas mulia tersebut,” katanya lagi.