“Banyak lagi rakyat susah, abah tu dah kaya”

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan Perikatan Nasional mengutip sumbangan buat ‘pembebasan’ presidennya disambut dingin oleh rakyat Malaysia.

Berkapsyenkan ‘Ayuh kita bantu sumbang bebaskan Abah esok!’, maklumat mengenai kutipan itu disebarkan oleh Ketua Armada Bersatu.

Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal memuat naik poster maklumat derma yang dinamakan ‘Tabung Hibah Abah’ di laman media sosial miliknya.

Poster itu turut dilengkapi dengan nombor akaun bank atas nama Pertubuhan Jihad Ekonomi Melayu sebagai saluran untuk orang ramai menderma.

Sejurus postingan dihantar, ruangan komen dipenuhi dengan kritikan orang ramai yang menganggap tindakan pembangkang itu berlebihan.

Rata-rata pengguna media sosial juga berpendapat bekas Perdana Menteri itu lebih dari mampu untuk membayar segala kos jaminan dan pembelaan.

Ada individu yang turut mendakwa kutipan derma dibuat bagi membina persepsi bahawa Presiden Bersatu itu tidak bersalah atas tuduhan rasuah.

“Tak payah buat lawaklah, abah tu harta dia berjuta. Anak beranak dia boleh jamin dia. Ini semua mainan nak nampak dia tak bersalah,” kata seorang pengguna.

“Banyak lagi rakyat susah, abah tu dah kaya. Aduh, aneh-aneh orang sekarang,” kata pengguna lain yang turut tidak berpuas hati.

Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dibebaskan semalam selepas membayar wang jaminan sebanyak RM2 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan sebanyak RM232.5 juta dan menggubah wang haram bernilai RM195 juta.

Baca juga: Rasuah: Muhyiddin berdepan hukuman sehingga 35 tahun penjara