“Banyak lagi syarikat besar asal Israel, kenapa ‘fast food’ sahaja jadi mangsa?” – Ustaz Don Daniyal

Oleh MAISARAH AISYA

Tular mengenai nasib pekerja restoran makanan segera yang mungkin kehilangan pekerjaan akibat boikot daripada rakyat Malaysia.

Rata-rata rangkaian restoran makanan segera ini telah menunjukkan solidariti kepada penduduk Gaza di Palestin yang terkesan akibat konflik baru-baru ini.

Memetik Kosmo, pendakwah bebas dan personaliti televisyen, Ustaz Don Daniyal mempersoalkan sikap rakyat Malaysia yang hanya menyasarkan restoran makanan segera untuk diboikot.

Walaupun masih terdapat banyak syarikat-syarikat besar di Malaysia menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan buat negara Israel.

“Sebagai contoh, maaf… hari ini orang banyak cakap tentang ‘fast food’ (makanan segera), ramai kawan kita yang bekerja di restoran makanan segera kena berhenti kerja dan sebagainya.

“Kenapa orang hanya tuju kepada restoran makanan segera semata-mata, kenapa syarikat-syarikat besar yang asal penubuhannya dari Israel sendiri kita tidak pernah bincang pun.

“Para CEO syarikat besar itu tiada seorang pun suruh mereka letak jawatan, seolah-olah pada saya, nampak berat sebelah. Orang yang berjawatan besar, orang yang ada kuasa, syarikat-syarikat yang bertapak besar, tak ada siapa pun nak pergi cakap suruh boikot.

“Sebaliknya rakyat-rakyat marhaen yang boleh kita ‘titik’, kita ‘titik’ betul-betul sampai teruk kehidupan mereka,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Boikot secara bersasar

Menurut Don, untuk menjalankan kempen boikot ia perlulah bersasar dan tidak dilakukan secara melulu.

“Pertama, boikot ada tak dalam Islam? Ada. Nabi biasa boikot sahabat-sahabat Nabi yang tak turun perang. Memang ada perbuatan boikot.

“Yang kedua, bila kita nak boikot, buatlah mengikut perintah Ulul Amri, maksudnya jangan boikot ‘membabi buta’ (sesuka hati), itu istilah dia.

“Situasi ini bukan satu benda yang senang bagi seseorang yang bekerja menanggung keluarga. Balik rumah beritahu dia tak ada kerja, dia dibuang kerja. Itu bukan satu perkara yang menarik,” jelasnya.

Tetap boikot walaupun sudah maklum tak sokong

Tambah Don, rata-rata restoran makanan segera di negara ini secara terang-terangnya dimiliki oleh orang Islam dan pengurusannya juga tidak berpihak kepada Israel.

Namun mereka masih menjadi lokasi utama dalam senarai kempen boikot rakyat Malaysia.

“Kita semua maklum di negara kita cawangannya dimiliki oleh orang Islam sendiri, dijaga dan tak diberikan langsung sumbangan dan sebagaiya (kepada Israel). Benda itu sudah dimaklum kepada kita, ia masih juga orang buat (boikot).

“Jadi pada saya, kalau nak boikot mesti ikut ketua yang sememangnya nak boikot, jangan sewenang-wenangnya kerana kita akan membinasakan institusi kekeluargaan seseorang. Berjuang mesti ada arah tuju.

“Bukan restoran makanan segera sahaja yang datang daripada Israel, banyak syarikat-syarikat besar lain berasaskan Israel. Tak ada pun orang nak ajak boikot, tak ada pun orang nak suruh CEO dia letak jawatan,” tambahnya.

Memang senang untuk mulut orang bercakap berhenti kerja dan cari rezeki di tempat lain, tapi kalau dah lebih 10k hilang kerja, mana nak datang kerja kosong buat golongan ini.

Baca juga: Jadi tempat berlindung rakyat Palestin, sekolah TokTi di Gaza terselamat dari dibom Israel