Malaysia Dateline

“Banyak pemikiran politik saya terbentuk melalui tulisan Ahmad Lutfi”

Mengiringi perjalanan terakhir Almarhum Ahmad Lutfi Othman menuju negeri abadi untuk bertemu Penciptanya.

Walaupun tiada pertalian darah, namun pemergiannya amat dirasai dan suatu kehilangan besar dalam dunia kewartawanan, penulisan, bahkan gerakan islah dan perjuangan keadilan.

Almarhum seorang penulis prolifik yang amat sukar dicari ganti malah beliau bukan sahaja penulis yang hanya berada di meja editor tetapi jasadnya turut berada di lapangan umat.

Mata penanya amat tajam sehingga digeruni pemerintah. Pernah dipecat daripada UTM, ditahan di bawah ISA dan ditangkap kerana isu-isu marhaen yang diperjuangkannya, cukup membuktikan bahawa Almarhum bukan insan biasa-biasa.

Secara peribadi, saya membesar dengan tulisan-tulisan beliau sejak mengenali PAS dan harakah Islam. Malah tak keterlaluan kalau saya katakan bahawa banyak pemikiran politik saya terbentuk melalui artikel dan buku-buku tulisan Lutfi Othman, selain seorang lagi penulis yang lebih awal mendahului, Almarhum Pak Subky Latif.

"Banyak pemikiran politik saya terbentuk melalui tulisan Ahmad Lutfi"
ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil

Saya masih ingat ketika era reformasi, iltizam Almarhum Lutfi dalam dunia penulisan amat terserlah apabila majalah-majalah yang sarat dengan pengisian analitik dan kritikal muncul di pasaran.

Tamadun, Detik, dan Siasah antara contohnya yang hampir kesemua itu diinspirasikan oleh beliau, dan hampir semua juga telah diharamkan penerbitannya oleh rejim BN.

Hari ini, beliau telah tiada. Berkebetulan hari ulangtahun kelahiran beliau ke 59 hari ini. Tiada lagi tulisan-tulisan analitikal dan kritikal daripada Almarhum. Tetapi semangat dan pengalaman yang ditinggalkan melalui penulisannya, kekal menjadi inspirasi dan moga-moga turut menjadi bekalan amal soleh buat beliau sehingga Hari Pembalasan.

Dan, kita semua menjadi saksi bahawa Almarhum adalah tokoh yang istiqamah melawan kemungkaran pemerintah sehingga akhir hayatnya.

Ya Tuhan, hanya syurga selayaknya buat Ahmad Lutfi Othman. Ameen!